KUALA LUMPUR: Pelajar Malaysia yang akan melanjutkan pelajaran ke Australia perlu mengemukakan bukti wang simpanan sekurang-kurangnya A$29,710 (kira-kira RM100,000) untuk mendapatkan visa.
Kadar itu merupakan kenaikan kedua dikenakan Australia dalam tempoh tujuh bulan bermula hari ini di mana akan melibatkan seramai 15,000 pelajar Malaysia yang sedang dan ingin menyambung pengajian ke negara itu.
Menurut laporan media antarabangsa, jumlah itu dinaikkan daripada A$21,041 (RM65,717) kepada A$24,505 (RM76,528) Oktober lalu dan dinaikkan sekali lagi kepada A$29,710.
Laporan itu menyebut, langkah berkenaan bagi mengetatkan peraturan visa pelajar asing susulan penarikan balik sekatan Covid-19 pada 2022 menyaksikan lonjakan kemasukan pendatang, seterusnya memburukkan tekanan terhadap pasaran sewa hartanah di negara berkenaan.
Mengulas perkembangan terbabit, Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir berkata, pihaknya akan mengadakan pertemuan dengan kerajaan Australia bagi membincangkan polisi negara itu menaikkan had minimum wang simpanan pelajar antarabangsa bagi mendapatkan visa.
Zambry berkata, pertemuan akan dilakukan segera bagi mengetahui sama ada polisi itu melibatkan semua negara atau melibatkan negara tertentu sahaja.
“Kita akan adakan pertemuan dengan rakan sejawat dan kerajaan Australia secepat mungkin bagi mengetahui polisi negara itu,” katanya ketika merasmikan pelancaran Logo Baharu Pusat Pakar Universiti Kebangsaan Malaysia (UKMSC), semalam.
Dalam pada itu, Zambry berkata, bagi konteks visa pelajar, ia bukan melibatkan KPT sahaja malah melibatkan Kementerian Dalam Negeri (KDN).
Terdahulu, media antarabangsa melaporkan, Australia akan menaikkan had minimum wang simpanan pelajar antarabangsa bagi mendapatkan visa dan turut memberi amaran kepada beberapa institusi pendidikan mengenai amalan penipuan pengambilan pelajar.
Menteri Dalam Negeri Australia, Clare O’Neil dilaporkan berkata, surat amaran telah dihantar kepada 34 penyedia pendidikan untuk “amalan pengambilan yang tidak tulen atau eksploitatif.”
Mereka boleh dipenjarakan sehingga dua tahun dan dilarang mengambil pelajar jika didapati bersalah, katanya.
Sektor pendidikan antarabangsa antara industri eksport terbesar Australia bernilai A$36.4 bilion (RM112.47 bilion) kepada ekonomi negara itu pada 2022/23.
Bagaimanapun jumlah migran itu memecahkan rekod dan kebanyakannya didorong pelajar antarabangsa yang telah meletakkan kerajaan di bawah tekanan dengan kadar sewa hartanah yang melambung tinggi di seluruh negara.
Penghijrahan migran ke negara itu meningkat 60 peratus kepada 548,800 pada tahun itu hingga 30 September 2023.
Kerajaan Australia menjangkakan dasarnya boleh mengurangkan separuh pengambilan migran dalam tempoh dua tahun akan datang.
“Kami mengurangkan tahap penghijrahan dengan ketara, kami berada di tengah-tengah penurunan terbesar dalam bilangan penghijrahan dalam sejarah Australia, di luar perang atau pandemik,” kata O’Neil, menurut laporan itu.
Berdasarkan laporan, tahun lalu, Australia telah mengetatkan peraturan visa untuk pelajar antarabangsa dan pekerja asing kurang mahir.
Langkah itu boleh mengurangkan separuh kemasukan migran dalam tempoh dua tahun akan datang ketika pemerintah negara itu berusaha memperbaiki sistem migrasinya.
Di bawah dasar baharu itu, pelajar antarabangsa perlu memperoleh penarafan lebih tinggi dalam ujian bahasa Inggeris dan terdapat lebih banyak penelitian terhadap permohonan visa kedua pelajar yang akan memanjangkan tempoh menetap mereka di negara itu. – UTUSAN










