SHAH ALAM: Representasi yang dikemukakan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor bagi membatalkan dua tuduhan menghasut terhadapnya ditolak Jabatan Peguam Negara (AGC).
Perkara itu dimaklumkan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Masri Mohd. Daud pada sebutan kes itu di hadapan Hakim, Datuk Aslam Zainuddin.
“Pihak pendakwaan telah memaklumkan perkara itu (keputusan representasi) kepada pihak pembelaan melalui satu surat pada 3 Mei lalu,” kata Mohd. Daud di Mahkamah Tinggi, di sini, hari ini.
Peguam, Awang Armadajaya Awang yang mewakili Muhammad Sanusi kemudian mengesahkan perkara itu.
Timbalan Pendakwa Raya, Abdul Malik Ayob berkata, pihak pendakwaan tidak membantah permohonan representasi itu.
Mengikut kedua-dua pertuduhan itu Muhammad Sanusi, 50, didakwa telah menyebut perkataan menghasut di Simpang 4, Taman Selayang Mutiara-Kampung Bendahara, Gombak dekat sini pukul 11 malam pada 11 Julai 2023.
Justeru kedua-dua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 4(1) akta sama yang membawa hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Dengan keputusan representasi kes akan diteruskan dengan perbicaraan. Sebelum ini mahkamah menetapkan tarikh-tarikh perbicaraan pada 22, 23, 29 dan 30 Julai serta 5, 6, 9, 12, 13 dan 23 Ogos. – UTUSAN










