PUTRAJAYA: Barisan Nasional (BN) mahu terus memperkukuhkan jalinan kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) agar suasana politik sedemikian dapat diterjemahkan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah kelak.
Pengerusinya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, sebagai sebuah parti yang sangat dinamik, UMNO dan BN juga bersedia untuk bekerjasama dengan mana-mana parti politik lain yang mempunyai pegangan sealiran dengannya.
“Kita pernah bersama-sama dengan rakan-rakan kerajaan yang lalu tetapi kita telah terpinggir, namun keterpinggiran itu tidak menjadikan UMNO tidak relevan di Sabah, malah ini memberikan cabaran yang memperkuatkan UMNO di Sabah dan kita sedia bekerjasama dengan mana-mana parti yang kuat bagi membentuk kerajaan di Sabah kelak.
“Yang pentingnya BN harus memperkukuhkan jalinan kerjasama dengan PH, itu adalah teras utama terutamanya dalam pembentukan kerajaan di Putrajaya dan di Sabah juga mungkin suasana politik itu akan dapat diterjemahkan,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) dan Apresiasi KKDW Tahun 2023 di sini hari ini.
Pada 17 Mei, media melaporkan UMNO Sabah memberi bayangan akan membentuk satu gabungan atau gagasan baharu dengan mana-mana parti yang dirasakan boleh bekerjasama dalam mendepani PRN Sabah Ke-17.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, UMNO negeri perlu mengambil pendekatan itu kerana berpendapat tidak ada mana-mana parti di Negeri Di Bawah Bayu yang mampu bergerak secara solo pada PRN akan datang berdasarkan landskap politik semasa.
Mengulas lanjut, Timbalan Perdana Menteri itu berkata, sekiranya terdapat keputusan berhubung perkara itu, ia hanya akan diumumkan selepas Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah dibubarkan secara rasmi.
“Saya amat menyantuni gelojak politik di Sabah, biarpun kita belum mengetahui bilakah tarikh sebenarnya PRN tetapi tarikh terakhir ialah pada Oktober 2025, ertinya masih ada kira-kira setahun setengah daripada sekarang.
“Perbincangan diadakan beberapa kali sama ada di Kota Kinabalu atau di Kuala Lumpur, kita juga mengadakan bengkel mengenai perkara ini dan insyaAllah kita akan mengumumkan keputusan yang terbaik apabila DUN di Sabah dibubarkan,” ujarnya. – UTUSAN










