HULU SELANGOR: Perikatan Nasional (PN) mendakwa pemilihan dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Bharu bukan memilih Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) semata-mata sebaliknya simbolik kebangkitan suara rakyat secara keseluruhan.
ADUN Gombak Setia, Hilman Idham berkata, masalah yang dihadapi penduduk di Kuala Kubu Bharu seperti kos sara hidup dan kenaikan harga barang turut dirasai oleh rakyat di seluruh negara.
Justeru, beliau menyeru pengundi memilih PN sebagai referendum dan isyarat jelas kepada bukan sahaja Kerajaan Negeri Selangor, bahkan kepada Kerajaan Persekutuan berkenaan masalah dihadapi rakyat.
“Suara rakyat Kuala Kubu Bharu adalah suara rakyat Malaysia. Masalah dihadapi oleh penduduk di Kuala Kubu Bharu adalah masalah yang sama dihadapi oleh rakyat Malaysia secara keseluruhan.
“Masalah paling besar adalah isu kos sara hidup. Kalau kita pergi ke Kuala Kubu Bharu, setiap isi rumah keluarga yang tinggal di situ pasti berlaku peningkatan kos sara hidup sehingga RM500 (sebulan).
“Dulu air di Selangor percuma, rakyat Selangor boleh mandi sampai tujuh kali, tetapi sekarang ‘mandi air hujan’ sahaja, sudahlah kena bayar bil air, tarif air pula naik. Kemudian subsidi minyak pula hendak ditarik balik, semakin membebankan,” katanya ketika berucap pada Ceramah Umum Perdana PRK Kuala Kubu Bharu, hari ini.
Dalam pada itu, beliau turut menempelak tindakan kepemimpinan Pakatan Harapan (PH) yang mendakwa PN memainkan sentimen perkauman sepanjang kempen PRK berlangsung.
“Kita bangkitkan isu kos sara hidup, ia juga dihadapi oleh semua kaum,” tegasnya.
Terdahulu Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook menasihatkan pengundi di Kuala Kubu Bharu dinasihat supaya tidak terperdaya dengan sentimen perkauman yang didakwa dimainkan oleh PN sepanjang kempen PRK Kuala Kubu Bharu.
Menurutnya, PN memainkan sentimen tersebut apabila Kerajaan Perpaduan meletakkan calon daripada kaum Cina.
Dalam PRK Kuala Kubu Bharu, PN mempertaruhkan pemangku Ketua Bahagian Bersatu Hulu Selangor, Khairul Azhari Saut dalam dalam saingan empat penjuru menentang calon PH, Pang Sock Tao; Parti Rakyat Malaysia (PRM), Hafizah Zainudin dan calon bebas, Nyau Ke Xin.
Seramai 40,226 pengundi dijadualkan keluar mengundi pada 11 Mei ini untuk mengundi, sementara pengundi awal, 763 orang pula akan menjalankan tanggungjawab mereka pada 7 Mei. – UTUSAN










