PRK Kuala Kubu Bharu: Jangan termakan permainan perkauman PN - Anthony Loke - Utusan Malaysia

PRK Kuala Kubu Bharu: Jangan termakan permainan perkauman PN – Anthony Loke

Perkauman PN
ANTHONY Loke Siew Fook berucap pada Ceramah Mega Perpaduan PRK Kuala Kubu Bharu dekat Bandar Utama Batang Kali di Hulu Selangor, Selangor. - UTUSAN / SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HULU SELANGOR: Pengundi di Kuala Kubu Bharu dinasihat supaya tidak terperdaya dengan sentimen perkauman yang didakwa dimainkan oleh Perikatan Nasional (PN) sepanjang berkempen pada Pilihan Raya Kecil (PRK) kawasan itu sejak penamaan calon Sabtu lalu.

Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook berkata, beliau mendakwa PN memainkan sentimen tersebut apabila Kerajaan Perpaduan meletakkan calon daripada kaum Cina.

Menurutnya, Pakatan Harapan (PH) bersama Barisan Nasional (BN) menggunapakai politik permuafakatan yang menjadi resepi kejayaan termasuk di kawasan-kawasan yang ditandingi sendiri oleh orang Melayu.

“Di negara kita, sejak merdeka kita amalkan politik permuafakatan, bekerjasama antara kaum Melayu, Cina, India, Orang Asli, itu ramuan kejayaan kita yang sudah dibuktikan di kawasan-kawasan lain oleh wakil rakyat Melayu, pengundi Cina dan India solid memberi sokongan.

“Rodziah Ismail di Ampang, ramai pengundi Cina sokong dia, Aminuddin kawasan dia bawah kawasan saya (Sikamat), di Kampung Baru Sikamat, 90 peratus penyokong Cina sokong dia.

“Jadi saya harap, kita bersatu hati, kita kumpulkan kekuatan, perkuatkan kerajaan Perpaduan,menangkan Kerajaan Perpaduan supaya kita boleh membawa agenda pembangunan,” katanya ketika berucap pada Ceramah Mega Perpaduan, malam tadi.

Dalam PRK Kuala Kubu Bharu, PH mempertaruhkan, Pang Sock Tao dalam saingan empat penjuru menentang calon Perikatan Nasional (PN), Khairul Azhari Saut; Parti Rakyat Malaysia (PRM), Hafizah Zainudin dan calon bebas, Nyau Ke Xin.

Seramai 40,226 pengundi dijadualkan keluar mengundi pada 11 Mei ini untuk mengundi, sementara pengundi awal, 763 orang pula akan menjalankan tanggungjawab mereka pada 7 Mei.

Dalam pada itu, Anthony yang juga Menteri Pengangkutan memaklumkan Serendah yang terletak berhampiran dengan Batang Kali dan Kuala Kubu Bharu akan menjadi pusat logistik negara apabila salah satu stesen utama Projek Laluan Keretapi Pantai Timur (ECRL) dibina di sana.

“Jadi, Serendah kita hendak bangunkan sebagai pusat logistik negara, jadi banyaklah kilang-kilang akan mendirikan operasi mereka di sekitar Serendah, Batang Kali, Kuala Kubu Bharu, dekat dengan Tanjong Malim ada industri automotif.

“Jadi, Serendah akan menjadi pusat logistik negara yang menggunakan keretapi mengangkut barangan untuk mengangkut kereta ke Pantai Timur, semua akan melalui Serendah dan itu sudah tentunya akan menawarkan banyak peluang pekerjaan,” jelasnya.

Katanya lagi, Kementerian Pengangkutan juga mengadakan pameran kerjaya ECRL pada hari ini bagi mengisi kekosongan pekerjaan ECRL terutama dalam sektor logistik. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN