HULU SELANGOR: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyasarkan jumlah keluar mengundi dalam kalangan orang awam pada Sabtu ini dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu melebihi 75 peratus.
Perkara itu dimaklumkan Pengerusinya, Tan Sri Abdul Ghani Salleh yang menyeru kesemua pengundi untuk keluar mengundi pada hari pengundian 11 Mei ini dengan melibatkan 39,362 pengundi di keseluruhan 16 Pusat Daerah Mengundi (PDM).
“Kita merayu kepada semua pengundi di Hulu Selangor DUN KKB dapat keluar mengundi. Jangan kita rasa tak apa, tak perlu keluar mengundi, sama sahaja, itu biasalah tuduhan-tuduhan yang keluar daripada sahabat-sahabat yang mungkin dia rasa tanggungjawab itu dipandang ringan.
“Tetapi, sebenarnya satu undi adalah membina kepada pentadbiran negara,” katanya kepada pemberita selepas melawat proses pengundian awal oleh pegawai dan anggota tentera, di Rejimen Semboyan Divisyen Keempat Infantri Kem Erskine, hari ini.
Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu lalui proses pilihan raya sekali lagi selepas kerusi tersebut diisytiharkan kosong apabila penyandangnya, mendiang Lee Kee Hiong meninggal dunia pada 21 Mac lalu.
Dalam PRK tersebut, pertandingan melibatkan saingan empat penjuru antara calon Kerajaan Perpaduan, Pang Sock Tao menentang calon daripada Perikatan Nasional (PN), Khairul Azhari Saut; Parti Rakyat Malaysia (PRM), Hafizah Zainudin dan calon bebas, Nyau Ke Xin.
Dalam pada itu, Abdul Ghani memaklumkan, beliau berpuas hati terhadap perjalanan kempen pilihan raya yang berlangsung sejak penamaan calon termasuk prosedur tindakan undang-undang dikenakan kepada pihak yang melakukan kesalahan di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.
“Alhamdulillah dari segi pasukan penguatkuasaan kita, kita menerima dua laporan dan tindakan sudah pun diambil pertamanya semua sedia maklum (penggunaan) gambar Yang di-Pertuan Agong, pihak polis (dan mahkamah) sudah mengambil tindakan.
“Kedua, melibatkan gambar pemimpin-pemimpin Kerajaan Perpaduan, mereka tidak bertanding di sini, itu pun kita sudah ambil tindakan. Yang lain, alhamdulillah semuanya berjalan dengan baik dan lancar,” ujarnya.
Katanya lagi, beliau berharap itu kelancaran kempen dan proses pilihan raya dalam tempoh tiga atau empat hari terakhir, tidak ada pihak yang mencetuskan sebarang provokasi melampau. – UTUSAN










