SHAH ALAM: Polis menerima sebanyak 10 laporan sepanjang dua minggu berlangsung kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu, sejak minggu lalu sehingga hari ini.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, polis membuka lima kertas siasatan dan mendakwa dua orang individu.
“Dua individu itu didakwa kerana membawa gambar Yang di-Pertuan Agong ketika berkempen.
“Bagaimanapun, kempen PRK Kuala Kubu Baharu berjalan dengan aman tanpa provokasi yang melampau,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, hari ini.
Terdahulu, seorang warga emas dikenakan hukuman penjara sebulan dan denda RM3,000 selepas mengaku bersalah menggunakan gambar Yang di-Pertuan Agong pada sebuah kenderaan bersama bendera Pakatan Harapan (PH).
Dalam pada itu, Hussein memaklumkan seramai 1,133 anggota dan pegawai akan bertugas dan akan ditempatkan di lokasi-lokasi tertentu, termasuk di pusat pengundian bagi memastikan kelancaran proses pengundian.
Malah, beliau turut menasihatkan pengundi supaya meletakkan kenderaan di tempat yang sesuai dan tidak menghalang aliran lalu lintas.
“Untuk kempen sehingga lewat malam ini, saya mengingatkan kepada semua penyokong parti untuk tidak melakukan perkara yang boleh mencetuskan insiden tidak diingini.
Malah diharap tidak menyentuh isu 3R (agama, kaum dan raja) ketika berkempen atau berceramah. Sekiranya didapati berbuat perkara itu, polis tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas kepada kepada si pelaku,” tegasnya. – UTUSAN









