PRK Kuala Kubu Baharu: Lebih 95 peratus pengundi awal keluar mengundi - Utusan Malaysia

PRK Kuala Kubu Baharu: Lebih 95 peratus pengundi awal keluar mengundi

Tentera mengundi
PROSES pengundian berlangsung pada hari pengundian awal dekat Rejimen Semboyan Divisyen Keempat Infantri Kem Erskine, Kuala Kubu Baharu di Hulu Selangor, Selangor, semalam. - UTUSAN / M. FIRDAUS M. JOHARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HULU SELANGOR: Lebih 95 peratus daripada 863 pengundi awal yang terdiri dalam kalangan pasukan polis dan tentera melaksanakan tanggungjawab mereka dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu, hari ini.

Dua pusat pengundian awal iaitu Dewan Serbaguna Maktab Polis Diraja Malaysia (PDRM) melibatkan 438 pengundi bersama pasangan dan Rejimen Semboyan Divisyen Keempat Infantri Kem Erskine pula melibatkan 238 pengundi dan pasangan.

Daripada jumlah itu juga seramai 83 pegawai dan anggota tentera sudah pun melaksanakan undi pos lebih awal dan pusat pengundian tersebut merekodkan peratusan mengundi 99 peratus pada tengah hari.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Ghani berkata, beliau berpuas hati terhadap perjalanan kempen pilihan raya yang berlangsung sejak penamaan calon termasuk prosedur tindakan undang-undang dikenakan kepada pihak yang melakukan kesalahan di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

“Alhamdulillah dari segi pasukan penguatkuasaan kita, kita menerima dua laporan dan tindakan sudah pun diambil pertamanya semua sedia maklum (penggunaan) gambar Yang di-Pertuan Agong, pihak polis (dan mahkamah) sudah mengambil tindakan.

“Kedua, melibatkan gambar pemimpin-pemimpin Kerajaan Perpaduan, mereka tidak bertanding di sini, itu pun kita sudah ambil tindakan. Yang lain, alhamdulillah semuanya berjalan dengan baik dan lancar,” ujarnya.

Ketika di sana beliau meninjau perjalan proses pengundian awal dan tiba terlebih dahulu di Kem Erskine sekitar pukul 10.10 pagi sebelum pergi ke Maktab PDRM.

Tambahnya, beliau berharap itu kelancaran kempen dan proses pilihan raya dalam tempoh tiga atau empat hari terakhir, tidak ada pihak yang mencetuskan sebarang provokasi melampau.

Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Ahmad Faizal Tahrim, memberitahu polis memberi jaminan untuk bekerjasama sepenuhnya kepada SPR bagi memastikan keselamatan simpanan kertas undi yang dipangkah sehingga dihantar ke pusat pengiraan undi pada Sabtu ini.

“Sebaik sahaja tamat masa mengundi, beg karung undi akan disimpan dalam lokap polis sehingga dihantar ke pusat pengiraan undi Sabtu ini.

“Bagi memastikan keselamatan kertas undi tersebut juga, polis akan melakukan prosedur biasa mengiringi petugas SPR untuk membawa beg ke pusat pengiraan nanti,” ujarnya.

Untuk rekod, komposisi pengundian bagi pasukan polis melibatkan saluran di lima daripada 16 Pusat Daerah Mengundi (PDM) iaitu 438 orang di Bandar Kuala Kubu Baharu, 149 di Kampung Air Jernih, 12 di Kerling, sembilan di Pekan Rasa dan 17 di Kampung Baharu Rasa.

Sementara seramai 238 tentera dan pasangan saluran mengundinya adalah di PDM Kampung Air Jernih. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN