KLANG: Polis menyiasat dakwaan berlaku tindakan khianat oleh pihak tidak bertanggungjawab yang dipercayai menumpahkan minyak diesel atas permukaan jalan di Persiaran Tengku Ampuan Rahimah ada awal pagi, semalam.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, menerusi video yang tular baru-baru ini, kemalangan berlaku melibatkan beberapa kenderaan dekat jalan sehala berselekoh dan mempunyai tiga lorong.
Menurutnya, terdapat kesan tumpahan minyak diesel di lorong paling kanan, namun sehingga kini hanya terdapat seorang pemilih kenderaan yang terlibat dalam kemalangan tersebut tampil membuat laporan polis di Balai Polis Trafik Klang Selatan.
“Kemalangan hanya melibatkan kerosakan kenderaan dan tiada sebarang kehilangan nyawa dilaporkan. Kes disiasat di bawah RULE 10 LN 166/59 oleh Sarjan Mohd. Nazri Tuan Lah.
“Siasatan juga dijalankan dari sudut jenayah sekiranya terdapat unsur-unsur khianat dilakukan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab. Orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan insiden itu diminta berhubung terus dengan pegawai penyiasat trafik bagi membantu siasatan polis,” katanya kepada pemberita, hari ini.
Terdahulu, tular sebuah video memaparkan kejadian beberapa kenderaan terbabas dekat sebatang jalan akibat daripada tompokan minyak dipercayai tumpah sehingga menyebabkan kereta yang melaluinya hilang kawalan.
Dalam pada itu, Hoong Fong menjelaskan, tumpahan minyak tersebut sudah pun dibersihkan oleh pihak penyelenggaraan jalan daripada Aliran Transit Ringan 3 (LRT3) dan jalan berkenaan kini selamat digunakan.
“Orang ramai dinasihatkan agar lebih berhati-hati semasa memandu kenderaan terutamanya pemanduan pada malam hari dan mematuhi segala peraturan dan undang-undang lalu lintas.
“Ia bagi mengelakkan berlakunya kemalangan jalan raya yang boleh menyebabkan kehilangan nyawa dan kerosakan harta benda,” ujarnya. – UTUSAN










