PETALING JAYA: Polis menjalankan siasatan terhadap kolumnis, Andrew Sia berhubung penulisannya yang mendakwa Universiti Teknologi Mara (UiTM) mengamalkan sistem aparteid.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan (KK), Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
“Setakat pukul 6 petang ini (semalam), terdapat sebanyak 14 laporan polis diterima di seluruh negara.
“Kita sedang memohon profiling kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia mendapatkan butiran penulis artikel terbabit untuk membantu siasatan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Terdahulu, Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) membuat laporan polis terhadap kolumnis sebuah portal berita, Andrew Sia kerana menggelar Universiti Teknologi Mara (UiTM) sebagai “akademi aparteid”.
Laporan polis itu dibuat oleh Ketua Penerangan Parti Putra, Sharulutfi Sharis di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi dekat sini kira-kira pukul 4 petang semalam.
Sharulutfi berkata, artikel berkenaan tidak adil, bersifat prejudis dan boleh mencetuskan kemarahan orang Melayu.
“UiTM ditubuhkan dengan tujuan memberi peluang pendidikan kepada bumiputera, bukan untuk melaksanakan diskriminasi.
“Perbandingan yang dibuat dalam artikel tersebut merendahkan usaha dan integriti UiTM,” katanya.
Rabu lalu, Andrew menulis mengenai isu parallel pathway dan keengganan UiTM membuka pintu buat sementara waktu kepada bukan bumiputera untuk menangani kekurangan pakar bedah kardiotoraks.
Kelmarin, Pemuda UMNO juga mengarahkan ahli partin ini membuat laporan polis di seluruh negara selain menuntut Andrew memohon maaf secara terbuka.- UTUSAN










