SHAH ALAM: Polis sedang mengesan dua suspek dipercayai terlibat dalam kejadian pecah rumah pemain pertahanan Selangor FC, Ahmad Khuzaimi Piee di sini, semalam.
Ketua Polis Selangor, Asisten Komisioner Mohd. Iqbal Ibrahim berkata, polis menerima laporan berkaitan kejadian tersebut pada pukul 11.30 malam tadi.
“Siasatan mendapati suspek dipercayai menggunakan kenderaan jenis pelbagai guna (MPV) berwarna putih dan melarikan sebuah motosikal jenis Yamaha Y15R seperti mana tular. Semasa kejadian mangsa dan ahli keluarga tiada dirumah,” katanya kepada pemberita, hari ini.
Tambahnya, motosikal tersebut dilarikan salah seorang suspek sementara seorang lagi memandu MPV tersebut.
Terdahulu, Ahmad Khuzaimi, 31, dilapor mendakwa rumahnya diepcah masuk individu tidak dikenali ketika pulang dari latihan pukul 9 malam.
Menerusi akaun Instagramnya, beliau memberitahu keluar menjalani latihan bola pada pukul 2 petang dan mendapati keadaan pintu pagar depan dan belakang rumahnya terbuka, ketika pulang dari sesi tersebut.
Dalam pada itu, Mohd. Iqbal memaklumkan anggaran kerugian dialami pemain The Red Giants itu adalah Rm15,000 dan tiada kehilangan wang tunai dan barang beharga lain.
“Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman pemenjaraan selama tempoh yang boleh sampai empat belas tahun dan hendaklah dikenakan denda.
“Mana-mana individu yang mempunyai maklumat lanjut boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Insp Laymand Rayne di talian 014-6907071,” ujarnya.
Katanya lagi, polis sedang berusaha keras untuk mengesan dan menangkap suspek pada kadar segera. – UTUSAN










