SHAH ALAM (Dikemas kini): Polis mematahkan cubaan menggunakan lilin untuk menyeludup dadah dalam satu serbuan di Lapangan Terbang Antarabangsan Kuala Lumpur (KLIA) pada pukul 6.45 pagi, 1 Mei lalu.
Pemerikasaan polis mendapati penyeludup mencairkan lilin sebelum memasukkan ke dalam tin yang mengandungi dadah jenis syabu yang bertujuan mengelak dikesan oleh pihak berkuasa.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) KLIA dan Polis Bantuan KLIA merampas enam kilogram (kg) dadah di dalam tin berhampiran terminal lapangan terbang itu.
“Susulan daripada tangkapan itu, pada waktu yang sama serbuan dibuat ke atas sebuah bilik hotel di kawasan KLIA dan polis berjaya merampas 18 kg lagi syabu disembunyikan di dalam enam tin dipenuhi lilin.
“Susulan itu, polis menahan empat lelaki tempatan berumur lingkungan 25 hingga 55 tahun dengan nilai rampasan syabu berjumlah RM768,000,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, hari ini.
Katanya, siasatan awal polis mendapati syabu itu dibawa dari Sarawak dan ketika tangkapan kesemua suspek sedang menunggu untuk pulang semula ke negeri itu.
“Kesemua dadah itu dipercayai untuk pasaran dalam negara. Kesemua suspek merupakan keldai dadah kepada sindiket terbabit dan diupah sebanyak RM1,000 untuk setiap penghantaran dadah.
“Mereka hanya berhubung dengan ahli sindiket dalam aplikasi sosial sahaja. Namun polis mempunyai cara untuk mengesan sindiket dan keldai dadah ini walaupun mereka tidak pernah bertemu secara fizikal,” katanya.
Kesemua suspek, katanya, mempunyai rekod jenayah dan rekod dadah dan ditahan reman selama tujuh hari bagi membantu siasatan.
Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. Polis juga sedang memburu dua individu, iaitu seorang lelaki dan seorang wanita warga tempatan bagi membantu siasatan.
Orang ramai yang ada maklumat berhubung dua invidu ini boleh menghubungi pegawai penyiasat Inspektor Mohamad Fariz Ramlee di talian 014-3145347. – UTUSAN










