BUKIT MERTAJAM : Polis kini sedang giat mengesan tiga suspek yang dipercayai terlibat dalam jenayah ragut terhadap seorang penjual air kelapa di Taman Impian Alma di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Helmi Aris berkata, pihaknya mengesan video tular berhubung kejadian tersebut kira-kira pukul 9.10 pagi tadi.
Menurutnya, video berdurasi satu minit itu memaparkan seorang lelaki warga tempatan berusia 40-an telah diragut oleh tiga individu yang menaiki dua buah motosikal.
“Siasatan awal mendapati, kejadian berlaku kira-kira pukul 11 pagi semalam ketika mangsa sedang menjual air kelapa di tepi jalan di kawasan taman perumahan terbabit.
“Salah seorang daripada suspek telah turun daripada motosikal dan berpura-pura untuk membeli air kelapa sebelum terus meragut rantai di leher mangsa.
“Ketiga-tiga suspek kemudian berjaya meloloskan diri walaupun cuba dikejar oleh mangsa,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Helmi berkata, hasil semakan nombor pendaftaran motosikal yang digunakan suspek mendapati, ia adalah palsu.
“Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian terbabit diminta tampil bagi membantu siasatan.
“Maklumat boleh disalurkan kepada Pegawai Penyiasat, ASP Marsila Hamzah di talian 04-5382222 atau laporkannya di balai polis berhampiran,” katanya yang memebritahu, kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan.-UTUSAN










