Polis berkas lelaki proses dadah sendiri 

Polis berkas lelaki proses dadah sendiri 

KETUA Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Ku Mashariman bin Ku Mahmood (dua dari kiri) menunjukkan sebahagian dadah yang dirampas.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Hasrat seorang lelaki mengaut untung besar menerusi jualan dadah yang diproses sendiri tidak kesampaian apabila dia diberkas polis pada 18 Mei lalu. 

Penahanan lelaki berusia 45 tahun itu turut membongkar sebuah unit kondominium di Bandar Baru Seri Petaling di sini dijadikan tempat memproses dadah. 

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Ku Mashariman Ku Mahmood berkata, dalam serbuan yang dilakukan kira-kira pukul 4.20 pagi itu, polis menemukan serbuk jenis Methylenedioxymethamphetamine (MDMA) seberat 2,301 gram diikuti pil ekstasi (108.4 gram) dan ketamin (20.60 gram) dengan nilai keseluruhan dadah yang dirampas RM106,650.

Kata beliau, turut dirampas adalah peralatan memproses dadah antaranya ketuhar, alat pengisar, alat penimbang, bekas aluminium dan kaca.

Ujar beliau, lelaki berkenaan  menyewa unit kondominium itu sebelum suspek mendapatkan bahan bekalan mentah dari sumbernya sendiri termasuk membuat pesanan daripada kurier untuk memproses dadah.

“Kita percaya dia memproses dadah berkenaan dengan menyelidik sendiri melalui internet selain pergaulannya.

“Ini kerana, semakan lanjut terhadap lelaki itu, dia mempunyai 10 rekod lampau yang mana lapan daripadanya berkaitan dadah dan jenayah (dua rekod),” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Kata beliau, setiap dadah yang siap diproses dijual dengan anggaran RM200 sehingga RM250 mengikut berat dan jenis dadah.

“Kegiatan yang dijalankan sejak dua bulan lalu itu dipercayai dijual bagi pasaran daerah ini dan boleh digunakan oleh 1,545 pengguna. 

“Siasatan lanjut mendapati, suspek menggunakan aplikasi sembang maya bagi urusan pembelian dadah yang diproses dan kebanyakan pelanggannya adalah dalam kalangan mereka yang dikenali,” katanya.

Kata beliau, suspek juga didapati positif dadah jenis Amphethamine (AMP) dan Methamphetamine.

“Suspek ditahan reman  tujuh hari sehingga 24 Mei ini di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.  – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN