KUALA LUMPUR: Kenderaan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang mengetuai kereta konvoi Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh antara sembilan kenderaan yang terjejas dalam kejadian pokok tumbang di Jalan Pinang, di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 3.26 petang itu, tiada sebarang kecederaan yang berlaku membabitkan pemandu dan penumpang terlibat.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd. Isa berkata, kenderaan yang rosak melibatkan empat buat kereta iaitu tiga kenderaan awam dan satu milik PDRM.
“Turut terjejas iaitu lima buah motosikal awam. Tiada sebarang kecederaan berlaku dalam kejadian ini,” katanya dalam satu kenyataan.
Dalam perkembangan sama, Pusat Gerakan Operasi (PGO) Kuala Lumpur telah menerima beberapa panggilan kecemasan pokok tumbang di beberapa kawasan di Kuala Lumpur berikutan berlakunya ribut dan hujan lebat.
PGO dalam satu kenyataan berkata, kejadian pokok tumbang berlaku di Jalan Rahmah Taman Gembira, Jalan Selesa 1 Taman Gembira Jalan Kuchai Lama, Fakulti Perubatan Universiti Malaya Wilayah Persekutuan dan Hadapan Menara British, Jalan Pinang, Kuala Lumpur di sini.
“Kejadian itu menyebabkan pokok menghempap kenderaan dan bumbung rumah di kawasan terlibat dan tidak melibatkan mangsa,” jelasnya.
Tambah kenyataan itu, kerja-kerja pemotongan dan pembersihan pokok tumbang dilakukan bersama pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur di lokasi terlibat. – UTUSAN







