Pilih diploma atau matrikulasi?

Pilih diploma atau matrikulasi?

LEPASAN Sekolah Sultan Alam Shah, Putrajaya meraikan kejayaan mencatatkan keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023. – UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tidak perlu keliru apabila menerima tawaran untuk mengikuti pengajian peringkat diploma atau matrikulasi kerana kedua-duanya setaraf dan memenuhi standard ditetapkan oleh Agensi Kelayakan Malaysia (MQA).

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Pegawai Eksekutif MQA, Prof. Datuk Dr. Mohammad Shatar Sabran berkata, kurikulum yang digunakan di institusi pengajian tinggi (IPT) untuk program diploma dan matrikulasi telah melalui proses penilaian dan akreditasi ketat MQA.

Menurut beliau, kedua-dua program tersebut dirangka untuk menyediakan pelajar dengan pengetahuan dan kemahiran yang diperlukan bagi memenuhi pasaran kerja atau melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi.

“Perbezaan peringkat pengajian ini bukan disebabkan oleh kualiti pendidikan, tetapi lebih kepada perancangan pelajar sama ada mereka ingin memasuki alam pekerjaan dengan menggunakan sijil matrikulasi atau diploma.

“Sebagai contoh, walaupun pelajar tersebut memperoleh 10A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), kemungkinan pelajar itu memilih untuk bekerja lebih cepat bagi membantu ibu bapa dan memilih jalan yang lebih mudah, iaitu melanjutkan pelajaran ke peringkat diploma.

“Walaupun pendekatan pembelajaran yang digunakan berbeza, kualiti pendidikan yang diberikan adalah sama tinggi dan diiktiraf di dalam negara mahupun luar negara,” katanya.

Mengulas lanjut, Mohammad Shatar berkata, keputusan akademik yang cemerlang biasanya membuka laluan mudah ke universiti dan merupakan kaedah efektif untuk menjamin peluang pekerjaan yang baik namun, dalam keadaan hari ini, terdapat banyak laluan kemahiran alternatif yang mampu menjana pendapatan yang luar biasa, bergantung kepada matlamat dan tujuan individu.

Katanya, masyarakat tidak perlu mempertikaikan pilihan laluan kerjaya pelajar berdasarkan keputusan yang diperoleh, kerana yang lebih penting, pilihan tersebut mampu menyumbang kepada pembangunan negara.

“Semua laluan pendidikan yang disediakan di negara ini tidak lagi dapat diklasifikasikan sebagai kelas untuk golongan bijak pandai atau kurang cemerlang, kerana semua laluan adalah sama rata, tanpa mengira sama ada seseorang memperoleh 10A atau sebaliknya.

“Kelulusan SPM merupakan kelayakan yang membuka pintu kepada pelbagai bidang, bukan hanya sekadar satu keputusan yang mengukur kejayaan dan kemampuan seseorang semata-mata,” jelasnya.

Sementara itu, Naib Canselor Universiti Antarabangsa Albukhary (AIU), Prof. Emeritus Datuk Dr. Abd. Aziz Tajuddin berkata, masyarakat mungkint melihat kedua-dua peringkat pengajian ini sebagai laluan yang berbeza, tetapi setaraf dari segi kualiti pendidikan yang diberikan kesesuaian program dengan minat dan matlamat pelajar itu sendiri adalah lebih penting.

“Ibu bapa dan pelajar juga tidak perlu memandang rendah salah satu peringkat pengajian ini dan sebaliknya, memilih laluan kerjaya yang paling sesuai dengan keperluan dan minat masing-masing.

“Lepasan SPM tidak perlu tergesa-gesa dalam membuat keputusan terhadap tawaran yang diterima sebaliknya menyemak sama ada tawaran yang diterima mendapat kelulusan atau pengiktirafan daripada kerajaan serta mereka boleh merujuk kepada MQA,” katanya.

Katanya, melalui MQA, mereka boleh memastikan sama ada program atau bidang yang ditawarkan mendapat akreditasi atau tidak untuk mengelakkan berlakunya pembaziran masa dan wang bagi pelajar yang tersilap memilih program. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN