Perkenal diplomasi sawit melalui orang utan - Johari Ghani

Perkenal diplomasi sawit melalui orang utan – Johari Ghani

Johari Abdul Ghani (tiga dari kiri) dan Mad Zaidi Mohd. Karli (dua dari kiri) menunjukkan Buku Panduan Pengecaman Tapak Hidupan Liar yang menjadi panduan dalam menguruskan hidupan liar di ladang pada Forum Biodiversiti 2024 di Genting Highlands, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GENTING HIGHLANDS: Diplomasi orang utan wajar diperkenal bagi membantu meningkatkan imej industri minyak sawit negara di peringkat dunia.

Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, ia boleh dilakukan sama seperti China yang berjaya dalam mewujudkan diplomasi panda bersama dengan negara lain termasuk Malaysia, sekali gus menaikkan industri buluh negara itu dalam jangka panjang.

“Kalau dulu kita selalu tengok diplomasi panda dan kita harap kita boleh lakukan melalui orang utan dari Malaysia. Kita boleh bagi kepada mana-mana negara yang berdagang dengan kita.

“Kita nak buktikan kepada masyarakat dunia bahawa kita bukanlah negara yang menghapuskan orang utan, ia haiwan yang sangat berharga dan perlu dijaga. Jadi, saya rasa tiba masanya kita contohi China, dia buat panda sebagai diplomasi,” katanya dalam sidang media sempena Forum Biodiversiti 2024 anjuran Yayasan Pemuliharaan Hijau Minyak Sawit Malaysia (MPOGCF), di sini hari ini.

Yang hadir sama Pengerusi MPOGCF, Datuk Mad Zaidi Mohd Karli dan Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan Strategik dan Pengurusan) Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK), Datuk Abdul Hadi Omar.

Johari berkata, jika populasi orang utan meningkat lebih daripada 10,000 ekor di negara ini, ia akan memberi manfaat jangka panjang kepada negara.

“Satu hari nanti, bila kita ada orang utan yang mencukupi, kita nak bagi kepada semua negara-negara yang membeli minyak sawit kita. Bagi seekor atau sepasang orang utan dan kita tengok di masa akan datang, macam mana dia boleh membiak dan kita boleh buat ini sebagai diplomasi orang utan,” katanya.

Beliau juga mengalu-alukan penglibatan syarikat-syarikat besar dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam memelihara orang utan di negara ini.

“Saya nak cadang kepada syarikat-syarikat besar adopt orang utan, jaga dia dan bekerjasama dengan NGO alam sekitar ke arah diplomasi orang utan.

“Kemudian bila dia dah besar sikit, kita bagi kepada klien yang kita eksport. Kita bagi ia sebagai hadiah. Bila ia disimpan di zoo, kita bagi khidmat pakar supaya mereka boleh jaga. Jadi, zoo-zoo di seluruh dunia kita boleh buat. Kita nak syarikat-syarikat besar dalam negara kita terlibat industri minyak sawit secara langsung,” katanya.

Beliau juga berharap pemain industri dapat menyumbang dari segi dana dan kos untuk menjayakan diplomasi orang utan.

“Berapa kosnya nanti saya tanya dengan pemain industri. Boleh tak dia taja dan sumbang kepada usaha kita untuk diplomasi orang utan ini,” katanya.

Jelasnya, negara tidak boleh mengambil pendekatan defensif terhadap soal minyak sawit sebaliknya menunjukkan kepada negara-negara yang mengimport sawit bahawa Malaysia pengeluar sawit yang mampan.

“Kita tidak lagi mementingkan pembukaan kawasan baharu tetapi kita nak meningkatkan pengeluaran setiap kawasan supaya mana-mana kawasan tanaman kelapa sawit sedia ada, kita nak meningkatkan hasil lebih tinggi.

“Nak meningkatkan hasil tinggi kita perlu mempunyai pengurusan yang baik dan sebahagian daripada strategi kita untuk beritahu dunia bahawa Malaysia punya pengeluaran minyak sawit mengambil kira banyak isu-isu alam sekitar dan perubahan iklim,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN