PUTRAJAYA: Rata-rata penjawat awam menyambut baik pemakluman awam kadar kenaikan gaji diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sempena sambutan Hari Pekerja 2024, semalam.
Penolong Setiausaha di Kementerian Sumber Manusia, Norasni Mohd Basaruddin, 41, berkata, pengumuman itu amat ditunggu-tunggu oleh semua kakitangan awam.
Dia berharap pengumuman itu memberi suntikan semangat kepada penjawat awam untuk bekerja lebih baik pada masa depan.
“Saya juga yakin ia (kenaikan gaji) dapat membantu meringankan beban penjawat awam berdepan kenaikan kos sara hidup ketika ini,” katanya.
Sementara itu, pegawai berita di Pertubuhan Berita Nasional (Bernama), Samantha Tan turut teruja dengan pengumuman kadar kenaikan gaji lebih 13 peratus diumumkan Perdana Menteri.
“Sudah lama penjawat awam tidak merasai kenaikan gaji dalam sektor awam. Kenaikan amat bertepatan memandangkan kenaikan kos sara hidup meningkat ketika ini,” katanya.
Terdahulu, Anwar mengumumkan berita gembira bahawa penjawat awam bakal menikmati kenaikan gaji lebih 13 peratus.
Ia merupakan kadar tertinggi dalam sejarah perkhidmatan awam negara dan bakal dilaksanakan mulai 1 Disember 2024.
Perdana Menteri memaklumkan, sebelum ini jumlah paling tinggi kenaikan gaji penjawat awam adalah pada kadar 13 peratus, namun Kerajaan Madani akan memastikan kadar kenaikan kali ini lebih tinggi daripada itu. – UTUSAN










