KUALA TERENGGANU: Seorang pemilik kedai makan dipenjara 36 tahun selepas mengaku bersalah empat tuduhan rogol dan satu tuduhan amang seksual fizikal terhadap anak saudaranya, tahun lalu.
Hakim Mahkamah Sesyen, Mohd. Zul Zakiqudin Zulkifli turut menjatuhkan hukuman 40 sebatan ke atas tertuduh sebaik pertuduhan dibacakan terhadapnya, hari ini.
Tertuduh bagaimanapun hanya dikenakan 24 sebatan maksimum mengikut Seksyen 288 Kanun Prosedur Jenayah.
Mengikut pertuduhan pertama sehingga keempat, tertuduh didakwa merogol seorang kanak-kanak perempuan yang berusia 15 tahun dan didakwa di bawah Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan.
Tertuduh, 44, didakwa melakukan perbuatan terkutuk itu di sebuah bilik di kedai makan dan di sebuah rumah dalam daerah ini antara Januari sehingga Mei 2023 kira-kira pukul 9 malam.
Dalam kejadian di kedai makan, mangsa yang bekerja sebagai pembantu telah dirogol oleh bapa saudaranya sebelum tertuduh mengulangi perbuatan itu di rumah mangsa ketika ibu mangsa keluar bekerja.
Bagi pertuduhan pertama, tertuduh dijatuhi hukuman penjara 10 tahun dan 10 sebatan manakala lapan tahun dan 10 sebatan bagi pertuduhan kedua sehingga keempat kerana merogol.
Tertuduh turut dipenjara dua tahun di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 kerana melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa sama pada Disember 2023.
Perbuatan itu terbongkar setelah mangsa mengadu kepada ibunya yang membuat laporan polis dan pemeriksaan kesihatan mendapati wujud kesan koyakan lama di kemaluan mangsa.
Pihak pendakwaan dalam hujahan faktor pemberatan memohon hukuman berat dikenakan terhadap tertuduh berbentuk pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat.
Mohd. Zul Zakiqudin kemudian memerintahkan tertuduh menjalani hukuman secara berasingan bagi setiap pertuduhan bermula tarikh tangkapan iaitu 27 Mac lalu dan pengawasan polis selama dua tahun.
“Mahkamah berpendapat perbuatan ini ialah kesalahan serius yang berulang banyak kali selain mengambil kira hubungan saudara antara tertuduh dan mangsa dalam kes ini,” kata beliau.
Prosiding pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Intan Nor Hilwani Mat Rifin manakala tertuduh tidak diwakili peguam. – UTUSAN










