KUALA TERENGGANU: Seorang pekerja pembersihan dihukum penjara 14 tahun dan dua sebatan oleh Mahkamah Tinggi atas kesalahan cabul dan persetubuhan luar tabii terhadap rakan sekerja, empat tahun lalu.
Hakim Datuk Hassan Abdul Ghani membuat keputusan itu selepas tertuduh, Muhammad Aidil Firdaus Mohd. Naser, 25, gagal dalam rayuannya dan didapati bersalah di akhir kes pembelaan.
Mengikut pertuduhan pertama, Muhammad Aidil Firdaus didakwa menggunakan kekerasan jenayah dengan niat hendak mencabul kehormatan seorang wanita yang ketika itu berusia 24 tahun dalam sebuah bilik di wad sebuah hospital di Setiu antara pukul 4 sehingga 5.30 petang pada 8 Oktober 2020.
Bagi kesalahan itu tertuduh didakwa di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan (KK) yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat, jika sabit kesalahan, manakala bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa dengan sengaja melakukan persetubuhan yang bertentangan dengan hukum tabii terhadap mangsa yang sama di lokasi dan masa yang sama.
Bagi kesalahan itu tertuduh berdepan pertuduhan di bawah Seksyen 377B KK yang jika sabit kesalahan tertuduh boleh dipenjara antara lima sehingga 20 tahun serta sebatan.
Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara empat tahun bagi pertuduhan pertama manakala 10 tahun dan dua sebatan bagi pertuduhan kedua.
Muhammad Aidil Firdaus bagaimanapun hanya perlu menjalani tempoh penjara selama 10 tahun setelah mahkamah memutuskan tempoh pemenjaraan berjalan serentak.
Prosiding pendakwaan rayuan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Khairuddin Idris manakala tertuduh diwakili peguam, Mohd. Fakhrul Fikri Mokhtar. – UTUSAN










