KANGAR: Pas tidak akan campur tangan dan menyerahkan kes tuntutan palsu membabitkan anak Menteri Besar Perlis yang didakwa di mahkamah berjalan mengikut proses perundangan sedia ada.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin berkata, parti itu tidak akan membantah mahu pun menunjukkan sebarang paksaan berhubung perjalanan kes tersebut.
Katanya, sekiranya keputusan bagi kes itu telah dibuat, terdapat pelbagai proses perundangan lain perlu dilalui selepas ini sehingga keputusan akhir diputuskan mahkamah.
“Selepas daripada keputusan kes ini, akan ada lagi proses rayuan dan kemudiannya akan dibawa ke Mahkamah Persekutuan untuk jatuh hukum, jadi apa-apa tindakan selepas ini pusat yang akan tentukan.
“Pas negeri akan ikut apa sahaja diputuskan pusat namun peringkat sekarang baru sahaja pertuduhan,” katanya.
Semalam media melaporkan, anak kepada Menteri Besar Perlis, Mohd Syafeeq Mohd. Shukri, 35, didakwa di Mahkamah Sesyen di sini bagi pertuduhan membuat tuntutan palsu berjumlah RM19,505.10.
Mengikut kertas pertuduhan, Mohd Syafeeq didakwa dengan niat memperdayakan dokumen Pesanan Kerajaan (Bekalan dan Perkhidmatan) Kerajaan Negeri Perlis bertarikh 14 Februari 2024 berkaitan perkhidmatan menyediakan minuman untuk kegunaan Raja Perlis di Hospital Tuanku Fauziah (HTF) di sini.
Dalam pada itu, Hashim berkata, pergerakan parti itu buat masa ini juga masih berjalan seperti biasa susulan kontroversi yang berlaku tersebut. – UTUSAN









