Pacuan empat roda terbabas, dua kakitangan KKM cedera

Pacuan empat roda terbabas, dua kakitangan KKM cedera

KEADAAN pacuan empat roda Mitsubishi Pajero yang terbabas di Kilometer 263.4, Lebuh Raya Utara-Selatan arah selatan, Ipoh, semalam. – IHSAN JBPM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Dua kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) cedera selepas kenderaan pacu­an empat roda yang dinaiki mereka terbabit kemalangan di Kilometer 263.4, Lebuh Raya Utara-Selatan arah selatan, di sini semalam.

Nahas itu berlaku berhampiran lokasi kemalangan membabitkan sebuah bas persiaran membawa 39 penumpang yang terbabas dan terbalik ke dalam longkang, semalam.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Meru diatur gerak ke lokasi kejadian selepas menerima maklumat pada pukul 8.23 pagi.

Katanya, kemalangan membabitkan sebuah kereta pacuan empat roda jenis Mitsubishi Pajero milik KKM dinaiki dua lelaki.

“Akibat kemalangan itu, pemandu dan penumpang ken­deraan masing-masing berusia 49 dan 43 tahun cedera di bahagian muka.

“Kedua-dua mangsa diberikan rawatan awal sebelum dihantar ke hospital menaiki Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS),” katanya di sini semalam.

Menerusi laporan media semalam, seramai 21 penumpang bas cedera selepas bas persiaran yang mereka naiki terbabas di Kilometer 264.5, Lebuh Raya Utara-Selatan arah selatan berhampiran Terowong Menora.

Kejadian sekitar pukul 7.28 pagi itu berlaku ketika bas ber­kenaan dalam perjalanan dari Kupang, Kedah ke Ipoh untuk menghadiri majlis keagamaan.

Kemalangan itu turut melibatkan sebuah kereta jenis Honda Accord yang dipandu seorang lelaki berusia 44 tahun dan mangsa dilaporkan tidak cedera.

Difahamkan, kemalangan berpunca daripada kereta ber­kenaan hilang kawalan lalu terbabas melanggar belakang bas. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×