P.Pinang: 10 sekolah, institut memandu terima 132 notis saman JPJ

P.Pinang: 10 sekolah, institut memandu terima 132 notis saman JPJ

ZULKIFLY Ismail (tengah) beramah mesra bersama kakitangan JPJ Pulau Pinang ketika menghadiri Majlis Riang Raya Aidilfitri jabatan itu di Seberang Jaya, Pulau Pinang.-UTUSAN/SITI NUR MAS ERAH AMRAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUTTERWORTH: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang mengeluarkan 132 notis termasuk saman ke atas sepuluh buah sekolah dan institut memandu di negeri ini.

Notis atas pelbagai kesalahan itu dikesan menerusi Ops Institut Memandu yang dilaksanakan secara mengejut bermula Januari sehingga April lalu.

Pengarah JPJ negeri, Zulkifly Ismail berkata, dalam operasi terbabit, sebanyak 642 buah kenderaan yang digunakan untuk pembelajaran memandu telah diperiksa dan 39 daripadanya didapati melakukan pelbagai kesalahan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Katanya, seramai 511 tenaga pengajar dan calon turut diperiksa manakala 28 daripadanya turut dikenakan tindakan.

“Antara kesalahan yang dikesan ialah pengajar tidak memiliki serta gagal mengemukakan Sijil Pengajar Institut Memandu (SPIM), pengajar tinggalkan calon tanpa pengawasan dan pengajar merokok.

“Selain itu, pemeriksaan mendapati, terdapat kenderaan yang digunakan di institut memandu tidak mempunyai permit sah Sijil Kenderaan Institut Memandu (SKIM) selain ada tayar kenderaan yang haus dan lampu isyarat tidak berfungsi,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis Riang Ria Aidilfitri JPJ Pulau Pinang di Seberang Jaya, di sini hari ini.

Tambah Zulkifly, pihak penguatkuasaan akan terus menjalankan pemantauan secara berkala pada setiap bulan untuk memastikan institut memandu beroperasi mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Kaedah-Kaedah di bawahnya.

“Kita mahu memastikan kenderaan yang digunakan untuk pembelajaran dan ujian memandu itu sentiasa berada dalam keadaan yang selamat untuk digunakan.

“Selain itu, pengoperasian institut memandu juga akan terus dipantau sekali gus dapat melahirkan pemandu baharu yang cekap serta memahami peraturan jalan raya.

“Pada masa yang sama, tindakan tegas akan diambil ke atas pengajar, pelajar serta pemilik institut memandu yang gagal mematuhi undang-undang yang ditetapkan,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini