SHAH ALAM: Enam ahli parlimen dan seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari Parti Bersatu dilihat mempertikai isu teknikal dalam Perlembagaan Parti Bersatu bagi menolak notis tunjuk sebab yang diberikan kepada mereka pada 17 Mei lalu.
Isu teknikal tersebut dipercayai boleh menyebabkan notis tunjuk sebab yang diberikan kepada ketujuh-tujuh wakil rakyat parti itu menjadi tidak sah.
Ini kerana mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) yang diadakan pada minggu sebelum itu bagi menentukan kedudukan ketujuh-tujuh wakil rakyat tersebut dipercayai tidak sah apabila terdapat kehadiran bukan anggota kepemimpinannya.
Mereka yang didakwa hadir adalah ADUN Kuang, Mohd. Rafiq Mohd. Abdullah serta ADUN Lepar, Mohd. Yazid Mohd. Yunus.
Perkara itu timbul apabila terdapat sepucuk surat ditujukan kepada Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin berhubung notis tersebut yang mempertikaikan status kedua-dua ahli berkenaan.
Pertikaian tersebut turut membawa kepada persoalan terhadap takrifan pribumi mengikut Fasal 2 Perlembagaan Bersatu 2019 yang dikaitkan dengan Fasal 7.3 yang menyebut ‘ahli biasa ialah warganegara Malaysia Pribumi yang berumur 18 tahun ke atas’.
Berdasarkan kepada perkara tersebut, status Mohd. Rafiq dan Mohd. Yazid yang mana masing-masing dikatakan berketurunan India Muslim dan Punjabi sebagai ahli parti itu tidak sah apatah lagi memegang jawatan atau memasuki mesyuarat MPT.
Menerusi semakan Utusan Malaysia terhadap dokumen itu, surat tersebut menyatakan keahlian mereka adalah tidak sah sebagai ahli biasa sementara jawatan dalam MPT pula dianggap serupa sejak dari awal pelantikan (pemilihan).
Bagaimanapun, terdapat pindaan Fasal 7 Perlembagaan Bersatu 2021 yang dilakukan secara senyap tanpa pengetahuan akar umbi atau melalui Perhimpunan Agung Khas (EGM) ataupun Perhimpunan Agung Bersatu (AGM).
“Pindaan dengan penambahan klausa ‘atau warganegara Malaysia beragama Islam’ adalah tidak mendapat kelulusan daripada ROS (Jabatan Pendaftar Pertubuhan) terlebih awal dan tidak pernah dibincangkan sebagai salah satu agenda dalam mana-mana mesyuarat MPT, EGM atau AGM.
“Kegagalan mendapatkan kelulusan daripada ROS sebelum membuat apa-apa pindaan kepada Perlembagaan Bersatu boleh menyebabkan parti dihadapkan ke mahkamah kerana melakukan kesalahan di bawah Seksyen 11(1) Akta Pertubuhan 1966 & Peraturan-Peraturan,” katanya.
Sementara itu, ADUN Selat Klang, Datuk Abdul Rashid Asari ketika ditemui memberitahu menjadi salah seorang penghantar surat tersebut dan mengesahkan menghantarnya pada pagi tadi.
Di samping itu, beliau turut memaklumkan ia perlu dijawab terlebih dahulu oleh Hamzah sebelum mereka menjawab notis tunjuk sebab yang diberikan pada Jumaat dua minggu lalu.
Terdahulu seramai enam Ahli Parlimen dan seorang ADUN dilapor berpaling tadah apabila bertindak menyokong Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, bermula dengan Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid.
Kemudian Datuk Suhaili Abdul Rahman (Labuan), Mohd. Azizi Abu Naim (Gua Musang), Zahari Kechik (Jeli), Syed Abu Hussin, Dzulkafperi Hanapi (Tanjong Karang) dan Abdul Rashid.
Akhbar ini pada khamis lalu melaporkan Perikatan Nasional (PN) yakin pilihan raya kecil (PRK) bagi enam kerusi parlimen dan satu kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) perlu diadakan berdasarkan Akta Anti Lompat Parti 2022 jika semua yang terlibat kekal dengan pendirian masing-masing
Pengerusi Badan Pimpinan Bersatu Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, kesemua ahli parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang sedang memberi sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sudah diberi notis minggu lalu.
Menurut beliau, status gugur keahlian akan diketahui selepas kesemua mereka menjawab notis tersebut dengan menyatakan pendirian sama ada untuk terus menyokong Kerajaan Perpaduan atau kembali kepada parti. – UTUSAN










