BUKIT MERTAJAM : Beri peluang kepada Neto Oliveira untuk menyinar.
Itu permintaan daripada pengendali Penang FC, Akmal Rizal Ahmad Rakhli kepada peminat yang masih meragui kemampuan pemain tengah yang pernah beraksi bersama kelab ternama Brazil itu iaitu Santos FC.
Akmal Rizal berkata, Neto, 26, baru seminggu menyertai sesi latihan skuad Harimau Kumbang dan pemain bertubuh kecil itu masih memerlukan masa untuk membina keserasian bersama pemain lain.
“Apapun saya yakin, dengan pengalaman beliau (Neto) dalam Liga Brazil sebelum ini, beliau akan dapat menyesuaikan diri dalam pasukan.
“Lebih-lebih lagi beliau turut dibantu oleh dua rakannya (juga dari Brazil) iaitu (Rodrigo) Dias dan (Rafael) Vitor. Jadi, saya rasa dengan apa yang beliau pamerkan semalam (dalam aksi persahabatan menentang Perak), kita akan lihat sudut yang lebih positif daripada Neto selepas ini,” katanya.
Tambah beliau, Neto mungkin disenaraikan dalam kesebelasan utama menentang Sabah pada aksi pertama saingan Liga Super minggu depan andai tahap kecergasan pemain itu mengizinkan.
Akmal Rizal ditemui semasa Majlis Pelancaran Jersi Penang FC 2024/2025 yang turut dihadiri oleh Pengerusi Lembaga Pengarah kelab itu, Daniel Gooi di Mydin Mall Bukit Mertajam, di sini.
Selain Neto, Dias dan Vitor, Penang FC mempunyai seorang lagi pemain import iaitu Richmond Ankrah yang dipinjamkan dari Selangor.
Mengulas lanjut, Akmal Rizal berkata, beberapa pemain tempatan juga dilihat mampu menyinar bersama pasukan musim ini termasuk bintang tengah Johor Darul Ta’zim (JDT) yang dipinjamkan iaitu Syamer Kutty Abba.
“Syamer Kutty bagi impak yang cukup besar kepada pasukan terutamanya dengan pengalaman beliau sebagai pemain JDT dan pemain kebangsaan,” kata beliau.
Dalam pada itu, Akmal Rizal percaya anak-anak buahnya mampu memberikan persembahan terbaik musim ini.
“Sasaran kita ialah untuk memperbaiki pencapaian musim lepas selain menyajikan corak permainan yang menghiburkan kepada para penyokong,” ujar bekas pemain kebangsaan itu lagi.-UTUSAN










