Nama diboikot, Nadhir Nasar perjelas dakwaan promosi jenama pro-Israel - Utusan Malaysia

Nama diboikot, Nadhir Nasar perjelas dakwaan promosi jenama pro-Israel

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pelakon dan pengarah, Nadhir Nasar, menjelaskan dia bukan sengaja mempromosikan jenama yang menyokong Israel, sebaliknya terpaksa akur dengan kontrak yang ditandatanganinya dengan jenama berkenaan setahun lalu.

Kata Nadhir, beliau bakal berdepan tindakan undang-undang sekiranya gagal memberi komitmen atau bertindak menarik diri sebelum tarikh yang telah ditetapkan dalam kontrak berkenaan.

“Kolaborasi saya dengan jenama tersebut (pada ketika itu) adalah berdasarkan komitmen mereka dalam menyokong kerja kreatif yang dihasilkan artis seperti saya.

“Saya faham dan hormati kebimbangan yang anda dikemukakan, namun penting juga untuk maklumkan bahawa ada kontrak yang perlu saya patuhi.

“Saya bekal dikenakan denda dan tindakan undang-undang sekiranya tamatkan kontrak lebih awal dari tempoh yang dipersetujui

“Ini akan memberi kesan bukan sahaja kepada saya, malah kepada pihak lain yang terlibat dalam kolaborasi ini,” tulisnya menerusi hantaran di platform X.

Nadhir berkata demikian bagi memberi respons kepada ciapan yang mengajak masyarakat memboikot artis tempatan yang mempromosikan jenama pro-Israel di media sosial.

Tindakan itu adalah sebahagian daripada kempen Blackout 2024, sebuah gerakan solidariti yang mengecam selebriti yang mengunci mulut berkenaan pembunuhan beramai-ramai di Rafah,Palestin.

Nadhir turut memohon maaf bagi pihak rakan selebriti dan bertekad menggunakan media sosial untuk menyebarkan kebaikan.

“Saya ingin menegaskan bahawa saya mengambil serius terhadap setiap respons yang diberikan dan komited untuk menjawab segala persoalan tanpa berselindung.

“Semoga di masa hadapan, saya akan terus menggunakan platform yang ada untuk mempromosikan perkara positif yang memberi impak kepada perubahan sosial.

“Terima kasih sekali lagi atas sokongan anda. Maaf atas kekhilafan saya dan rakan artis yang lain.

“Kepada warganet, anda ada hak untuk bercakap dan ia memberikan impak yang besar. Percayalah, Palestin akan bebas,” tulisnya.

Selain Nadhir, beberapa nama selebriti Malaysia lain turut tersenarai dalam kempen boikot berkenaan adalah Daiyan Trisha, Neelofa, Eyka Farhana, Meerqeen dan lain-lain.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN