Najib tanda tangan dokumen pinjaman AS$975 - Saksi

Najib tanda tangan dokumen pinjaman AS$975 – Saksi

NAJIB TUN RAZAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR:  Pegawai penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) `mengaku’ beliau tidak merujuk beberapa dokumen berkaitan pinjaman AS$975 dari sebuah bank di luar negara kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Penguasa Kanan, Nur Aida Arifin bagaimanapun berkata, walaupun tidak pernah merujuk dokumen-dokumen terbabit namun mengetahui bahawa Najib menandatangani dokumen tersebut berdasarkan soal siasat terhadap bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB, Mohd. Hazem Abd. Rahman.

Dokumen-dokumen yang dinyatakan antaranya membabitkan Resolusi Pemegang Saham Keutamaan (Special Shareholder’s Resolution) dan Resolusi Ahli (Member’s Resolution).

Saksi pendakwaan ke-49 itu sebelum ini bersetuju dengan cadangan peguam bela, Wan Azwan Aiman Wan Fakhruddin yang mewakili Najib bahawa dokumen-dokumen itu penting dalam kes pendakwaan.

Nur Aida juga bersetuju bahawa terdapat perbezaan antara tanda tangan Najib dengan tanda tangan yang didakwa milik Najib dalam dokumen-dokumen terbabit.

Pendakwaan yang dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Akram Gharib bagaimanapun mengemukakan bantahan atas alasan Nur Aida bukanlah seorang pakar untuk membuat analisa tersebut.

Nur Aida berkata demikian ketika menjawab soalan balas Wan Azwan Aiman di Mahkamah Tinggi di sini hari ini dengan merujuk kepada pertuduhan keempat Najib.

Pertuduhan keempat itu menyatakan Najib telah menggunakan kedudukannya sebagai Perdana Menteri, Menteri Kewangan dan Pengerusi Lembaga Penasihat 1MDB untuk mendapatkan suapan berjumlah RM44,570,920.70 dengan meluluskan tindakan 1MDB Energy Holdings Limited mendapatkan pinjaman melalui Kemudahan Pinjaman Berjangka sehingga AS$975 juta daripada Deutsche Bank AG untuk tujuan IPO Kumpulan Tenaga 1MDB yang mana beliau mempunyai kepentingan langsung.

Pada perbicaraan sebelum ini, bekas ketua pegawai eksekutif (CEO) 1MDB, Mohd. Hazem Abd Rahman memberitahu beliau hanya mengetahui mengenai pinjaman tambahan dari Deutsche Bank AG, Singapura apabila menerima emel daripada ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low.

Emel tersebut turut melampirkan dokumen kelulusan yang diberikan oleh Najib selaku Menteri Kewangan Diperbadankan iaitu dokumen bertajuk ‘Minutes by Representative of Holding Company Relating to Proceedings of Subsidiary Company Pursuant To Section 147(6) Of the Companies Act 1965, serta Special Rights Redeemable Preference Shareholder’s Resolution In Writing’.

Pinjaman oleh anak syarikat 1MDB sebanyak AS$975 juta adalah bagi membeli semula saham 1MDB di dalam Aabar Investment PJS pada 2014.

Terdahulu Nur Aida tidak bersetuju dengan cadangan Wan Azwan Aiman bahawa Hazem dan bekas Ketua Pegawai Kewangan 1MDB, Azmi Tahir telah bersengkongkol untuk menipu Najib dan rakyat Malaysia.

Beliau juga tidak bersetuju bahawa Hazem dan Azmi telah bertindak mengumpul dana bagi pelaburan di Brazen Sky Limited bagi mengaburi Najib dan orang awam bahawa pelaburan terbabit boleh ditebus semula.

Pada prosiding sebelum ini, mahkamah diberitahu bahawa Brazen Sky adalah syarikat yang ditubuhkan pada 12 Julai 2012 di British Virgin Islands (BVI) sebagai transit atau jentera tujuan khas (SPV) untuk menghantar balik dana pelaburan 1MDB.

Rakan Kongsi Urusan KPMG, Datuk Johan Idris dalam keterangannya sebelum ini selaku saksi pendakwaan ke-14 memberitahu Najib pernah memaklumkan  bahawa 1MDB tidak boleh mendedahkan butiran terperinci mengenai pelaburan syarikat itu di Brazen Sky Limited kerana ia sulit.

Menurut saksi itu, bekas Perdana Menteri itu juga mempersoalkan mengapa KPMG yang sedang melakukan audit terhadap syarikat itu masih menimbulkan syak terhadap ‘underlying assets’ (aset asas) pelaburan berkenaan.

KPMG telah digantikan dengan firma audit Deloitte selepas KPMG ditamatkan kontraknya oleh 1MDB pada akhir tahun 2013 selepas KPMG tidak menutup laporan kewangan tahun 2013 kerana tidak berpuas hati dengan jawapan yang diberikan. 

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung Isnin ini.- UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN