MoU peruntukan pembangkang fokus elak perpecahan

MoU peruntukan pembangkang fokus elak perpecahan

FADILLAH Yusof ketika mempengerusikan mesyuarat Majlis Sains Negara di Putrajaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Draf Memorandum Persefahaman (MoU) berkaitan penyaluran peruntukan kepada ahli Parlimen pembangkang antara lainnya bagi memastikan kestabilan negara dan mengelakkan perpecahan khususnya berkaitan 3R (agama, raja, kaum).

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, perincian draf terbabit sedang dimuktamadkan dan akan diserahkan kepada majlis kerja tertinggi (MKT) semua parti politik kerajaan serta pembangkang untuk diluluskan.

Beliau yang juga Ketua Whip Kerajaan Perpaduan berkata, draf itu juga akan memberi fokus untuk membangunkan dan memulihkan ekonomi negara.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kita masih memperincikan (draf) tetapi gambaran (MoU) sudah saya berikan apa kandungannya iaitu pertama, untuk fokus supaya semua ahli Parlimen melihat bagaimana untuk membangunkan dan memulihkan ekonomi negara.

“(Kedua) untuk memastikan kestabilan supaya kita dapat menarik seramai mungkin pelancong dan mengelakkan perkara yang boleh menyebabkan perpecahan, 3R (raja, bangsa, agama) dan sebagainya,” katanya ketika ditemui selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Sains Negara di sini, hari ini.

Ditanya bilakah draf MoU itu akan siap, Fadillah berkata, beliau tidak menetapkan sebarang tempoh waktu.

“Perjanjian ini sedang dimuktamadkan termasuk draf dan sebagainya.

“Tetapi saya tak tahu di peringkat Perikatan Nasional (PN) sebab ada yang kata tak perlu perjanjian, tetapi apa pun kita akan melihat, kita siapkan dahulu draf,” katanya.

Sebelum ini, Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi Sekretariat Kerajaan Perpaduan pada dasarnya bersetuju mengagihkan peruntukan kepada ahli Parlimen pembangkang dan draf MoU dirangka terlebih dahulu.

Susulan itu, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, PN menyambut baik keputusan kerajaan itu, namun, PN akan membuat keputusan selepas meneliti terlebih dahulu syarat dalam draf MoU yang sedang disiapkan kerajaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×