SINGAPURA: Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin memulakan lawatan rasmi ke Singapura hari ini.
Beliau tiba di Lapangan Terbang Changi di sini kira-kira pukul 4 petang diiringi Panglima Angkatan Tentera (PAT), Jeneral Tan Sri Mohammad Ab Rahman.
Ketibaan Mohamed Khaled bersama delegasi Kementerian Pertahanan (Mindef) disambut Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Republik Singapura, Datuk Dr. Azfar Mohamad.
Hadir sama, Penasihat Pertahanan Singapura, Kolonel Dean Tan Wah Kheng dan Penasihat Pertahanan Malaysia di Singapura, Kolonel Rosidi Mat Saad.
Lawatan empat hari itu diadakan sempena mesyuarat Menteri-menteri Pertahanan (FDMM) Perjanjian Pertahanan Lima Negara (FPDA) ke-12 yang dijadual berlangsung esok.
Mesyuarat itu melibatkan Menteri Pertahanan Australia, Richard Marles, Menteri Pertahanan Singapura, Dr. Ng Eng Hen, Menteri Pertahanan New Zealand, Judith Collins dan Ketua Delegasi United Kingdom, Paul Wyatt.
Ia antara lain membincangkan ‘Anniversary Stock-Take’ ke-50 serta latihan dan aktiviti FPDA sejak FDMM ke-11 selain pelan hala tuju untuk FDPA di masa hadapan.
Selain itu, Mohamed Khaled turut dijangka membuat kunjungan hormat ke atas Perdana Menteri Singapura, Lawrence Wong disamping melaksanakan pertemuan bilateral bersama pemimpin beberapa negara lain.
Dalam rangka lawatan sama, Mohamed Khaled juga dijadual menghadiri pembukaan Sidang Kemuncak Dialog Shangri-La 2024 (SLD24).
Beliau dijangka menyampaikan ucaptama pada sesi ketujuh sidang berkenaan yang diadakan selama dua hari mulai 1 hingga 2 Jun ini.
Sebelum itu, beliau dijadual menghadiri perjumpaan bersama warga Suruhanjaya Tinggi Malaysia hari ini sebagai simbolik pra-majlis FDMM dan SLD24. – UTUSAN










