PUTRAJAYA: Kerajaan bersyukur dengan respon Meta yang tidak menyekat hantaran isu pertemuan Perdana Menteri dengan seorang pemimpin Hamas di Qatar, pada Selasa lalu.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil malah dalam reaksi spontannya melahirkan perasaan syukur kerana perkara itu dapat selesai dalam masa tidak sampai 24 jam beliau bersuara.
“Alhamdulillah, kita berharap perkara ini tidak lagi berulang,” katanya dalam sidang akhbar berhubung acara-acara bersempena Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong di sini.
Semalam, Jurucakap Kerajaan Perpaduan itu mengecam tindakan konglomerat global tersebut menurunkan hantaran pertemuan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Ismail Haniyeh ketika misi lawatan rasmi ke negara rantau Asia Barat tersebut bagi menilai gambaran sebenar konflik di Palestin yang melibatkan Hamas dan rejim Israel.
Mengulas lanjut, beliau mengulangi kenyataannya semalam untuk tetap berjumpa dengan para pemain platform media sosial antarabangsa itu bulan depan berhubung isu tersebut.
“Saya akan beri penegasan bahawa Malaysia sebagai negara berdaulat dengan kepimpinan yang ada tetap memiliki pendirian serta sangat jelas dalam beberapa perkara,” katanya.
Justeru, beliau mengharapkan agar penyedia wadah itu menghormati aspek pelaporan mengenai sebarang kenyataan dari anggota pentadbiran negara termasuk Perdana Menteri.
Ini ujarnya, bukan baharu bahkan ketika program solidariti dengan Palestin di ibu negara, beberapa platform luar negara menurunkan hantaran yang menyokong pembebasan Gaza. – UTUSAN










