HULU TERENGGANU: Mayat lelaki tanpa identiti ditemukan dalam keadaan hampir reput di dalam sebuah stor projek pam pasir di Kampung Tanjung Aur, dekat sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superitenden Zainul Mujahidin Mat Yudin berkata, mayat tersebut dijumpai oleh orang awam yang melalui kawasan itu untuk ke sungai kira-kira pukul 6 petang.
“Mangsa lengkap berpakaian baju warna merah dan seluar sukan jenama Nike T90 berwarna hitam manakala keadaan ketika ditemui hampir reput.
“Usianya dianggarkan lingkungan antara 40-an hingga 50-an tahun. Kita tidak dapat mengenal pasti bangsa lelaki terbabit berikutan tidak mempunyai sebarang dokumen pada mayat berkenaan,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Tambah beliau, siasatan telah dijalankan oleh pihak polis dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
Katanya lagi, pihak polis berharap orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kes tersebut atau sesiapa yang kehilangan ahli keluarga serta kenalan agar tampil menyalurkan maklumat kepada balai berdekatan. – UTUSAN










