Masalah mental punca  jenayah seks dalam kalangan  kanak-kanak

Masalah mental punca  jenayah seks dalam kalangan  kanak-kanak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Isu kesihatan mental dalam kalangan kanak-kanak membimbangkan susulan banyak kes jenayah seks membabitkan kanak-kanak bawah umur dilaporkan  kebelakangan ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Shuhaily Mohd. Zain berkata, perkembangan itu menimbulkan kebimbangan banyak pihak termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Terbaharu, satu kes yang merunsingkan kita adalah kes jenayah seks membabitkan kanak-kanak usia seawal lima tahun. Dia bukan didera, bukan dipaksa untuk melakukannya. Ini bukan sakit fizikal, tetapi (sakit) mental.

“Saya lihat hari ini masalah kesihatan mental kanak-kanak harus dilihat dan dikaji secara bersama oleh masyarakat. Ini kerana kita tiada tempat khas untuk rawat, pulihkan mereka,” kata beliau pada Program Lawatan Sempena Peringatan Hari Polis ke-217 di Hospital Pakar Kanak-kanak (HPKK) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di sini hari ini.

Kata Mohd. Shuhaily, kanak-kanak terus membesar dan akan ada dalam masyarakat.

Ini dikhuatiri akan menimbulkan masalah lebih serius jika masalah itu tidak ditangani dengan lebih awal kerana langkah pemulihan pada masa ini amat kurang. 

“Sebagai contoh, kes seksual rambang oleh seorang kanak-kanak berusia sembilan tahun baru-baru kerana ingin membayar hutang, kami ingat itu kes yang paling muda, tetapi baru-baru ini ada kes membabitkan kanak-kanak berusia lima tahun.

“Disebabkan inilah kita (PDRM) memerlukan kepakaran dalam konteks kesihatan mental dalam membantu kepincangan yang berlaku dalam masyarakat. Ini kerana generasi muda adalah masa depan kita,” jelasnya.

Beliau berkata, punca kepada jenayah seks membabitkan kanak-kanak adalah kerana akses kepada bahan pornografi secara dalam talian yang terlalu mudah berbanding dahulu.

“Akses kepada bahan sedemikian semakin terbuka (tanpa sekatan), justeru satu perbincangan yang lebih menyeluruh kepada perkara itu telah dibangkitkan ke peringkat kementerian berkaitan.

“Kita rasa perkara ini mungkin perlu dilihat lebih mendalam dalam konteks penggubalan undang-undang jenayah siber itu sendiri,” ujarnya.

Dalam pada itu, Mohd Shuhaily berpendapat, ruang siber masa kini yang membawa naratif barat dilihat mencabar penguatkuasaan undang-undang sedia ada berlandaskan nilai-nilai setempat.

“Bagaimana kita hendak kuatkuasakan (undang-undang) jika undang-undang dan prosedur antarabangsa bercanggah dengan nilai setempat.

“Namun perkara ini bukan sahaja berlaku di negara ini sahaja, malah berlaku di seluruh dunia. Itulah cabaran yang saya lihat yang PDRM perlu terus tangani pada masa ini dan masa akan datang,” jelasnya.

Sebagai satu langkah pertama, pihaknya berhasrat untuk mengadakan kolaborasi dengan HPPK UKM sebagai sebuah hospital pakar kanak-kanak tercanggih dalam negara berhubung isu kesihatan mental kanak-kanak.

“Mungkin selepas ini kita boleh duduk bersama untuk berbincang dengan lebih lanjut,” katanya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya