KUALA LUMPUR : Majlis Amanah Rakyat (Mara) menyediakan peruntukan sehingga RM250,000 bagi mana-mana akauntan bumiputera yang berminat untuk membuka firma mereka sendiri.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengerusi Mara, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, pihaknya kini dalam langkah mengukuhkan kedudukan bumiputera dalam pelbagai sektor termasuk perakaunan supaya mempunyai pegangan ekuiti yang mampu menyumbang kepada ekonomi negara.
Katanya lagi, langkah itu juga dapat membantu usahawan untuk memperluaskan lagi perniagaan mereka dengan membuka cawangan di kawasan lain, yang akhirnya dapat meningkatkan jumlah akauntan bertauliah dalam negara.
“Setakat hari ini, Mara membiayai 933 orang dalam bidang profesional perakaunan termasuk 165 di luar negara dan yang mengambil ijazah seramai 808 orang dalam negara.
“Jadi sekarang kita sedang bergerak selangkah ke hadapan untuk mereka membuka firma akauntan sama dengan konsep doktor membuka klinik dan farmasi sendiri.
“Ia juga selari dengan konsep 3P iaitu penyertaan, pemilikan dan penguasaan di mana dalam konsep ini, kita boleh melihat berapa ramai yang sebenarnya ada pegangan ekuiti dalam sektor terbabit,” katanya ketika ditemui.
Semalam, akhbar ini melaporkan akauntan bumiputera bertauliah hanyalah 32 peratus daripada keseluruhan 37,576 tenaga kerja dalam sektor itu di negara ini, tahun lalu.
Walaupun ada peningkatan penyertaan bumiputera sebagai akauntan profesional dalam tempoh itu, ia tidak mampu melepasi angka bukan bumiputera yang jumlahnya sekitar 25,000 orang.
Berdasarkan jawapan bertulis di Dewan Rakyat pada Mac lalu, statistik akauntan bertauliah bumiputera tahun lalu adalah 12,121 orang berbanding 25,456 bukan bumiputera.
Mengulas lanjut, Asyraf turut berkata, pihaknya tidak boleh lagi melihat jumlah yang maksimum dari segi penyertaan semata-mata, sebaliknya pengukuran boleh dibuat berdasarkan tahap pemilikan dan penguasaan yang mampu menyumbang kepada sektor ekonomi secara keseluruhannya.
“Kita tidak boleh sekadar seronok dengan kadar output kerana Mara ingin melihat agenda pemerkasaan bumiputera secara holistik yang pebih progresif. Maka sebab itu, kita menyediakan pembiayaan kepada mereka, bukan sahaja dari segi perakaunan, malah doktor juga kita beri pembiayaan untuk membuka klinik atau farmasi sendiri.
“Malah, ada juga yang sudah berjaya membuka cawangan di kawasan lain, dan pembiayaan itu dapat dibayar kembali kepada Mara supaya kita dapat membantu golongan bumiputera yang lain,” ujarnya.
Untuk rekod, Mara menerima meruntukan RM3.99 bilion pada pembentangan Belanjawan 2024. – UTUSAN










