Malaysia-Turkiye akan muktamadkan perolehan LMS - Mohamed Khaled

Malaysia-Turkiye akan muktamadkan perolehan LMS – Mohamed Khaled

Mohamed Khaled Nordin menandatangani plak perasmian pada majlis pelancaran hab operasi Turkish Aerospace Malaysia (TUSAS Malaysia Sdn Bhd) di Cyberjaya di sini, hari ini. GAMBAR: FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

CYBERJAYA: Malaysia dan Turkiye kini di peringkat perbincangan bagi memuktamadkan perolehan kapal misi pesisir (LMS). 

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, LMS itu penting kerana ia salah satu kapal yang akan digunakan oleh Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM). 

“Kita sedang bincang dengan Turkiye bagi memuktamadkan perolehan kapal itu,” katanya dalam sidang akhbar selepas melancarkan hab operasi Turkish Aerospace Malaysia (TUSAS Malaysia Sdn Bhd) di sini hari ini. 

Media sebelum ini melaporkan, pembina kapal Turkiye, Turkiye Savunma Teknolojieri Muhendiskil (STM) optimis memeterai perjanjian membekalkan LMS kelompok kedua jenis korvet kelas-Ada kepada TLDM. 

Pengurus Besar STM, Ozgur Guleryuz berkata, perbincangan dengan TLDM dan Kementerian Pertahanan telah berlangsung sejak dua tahun lalu. 

Ditanya jemputan Turkiye untuk Malaysia menjadi rakan kongsi dalam projek pembangunan pesawat pejuang generasi kelimanya iaitu KAAN, Mohamed Khaled berkata, beliau percaya kedua-dua negara boleh meneroka kerjasama bukan sahaja dalam bentuk pesawat tetapi komponennya.  

“Kita bertuah dengan kehadiran TUSAS Malaysia Sdn Bhd dan percaya dengan keupayaan TUSAS dalam mengeluarkan helikopter, jet pejuang, satelit dan macam-macam lagi. 

“Kita percaya kita akan mampu untuk meneroka pelbagai bidang kerjasama,” katanya.

Mengenai pembukaan Turkish Aerospace Malaysia, Mohamed Khaled berkata, pembukaan hab berkenaan akan meningkatkan kemampuan dan keupayaan negara dalam bidang pembuatan dan teknologi bagi aeroangkasa. 

Katanya, hab itu juga telah membuka peluang pekerjaan kepada 120 jurutera tempatan. 

“Kita harap pembukaan (hab) akan merangsang industri pertahanan kita selain pemindahan teknologi dalam bidang aeroangkasa,” katanya. 

Mohamed Khaled berkata, beliau merakamkan penghargaan kepada Turkiye kerana sudi berkongsi teknologi dengan Malaysia dalam bidang pertahanan dan aeroangkasa sekali gus mencerminkan hubungan istimewa bagi kedua-dua buah negara.

“Kesediaan Turkiye pindahkan teknologi kepada jurutera muda dengan beri peluang bekerja untuk tingkat kemahiran dalam bidang aeroangkasa,” katanya. 

Turkish Aerospace adalah salah satu pemain industri yang dapat menyumbang untuk merealisasikan sasaran Pelan Tindakan Dasar Pertahanan Negara (Defense Industry Blueprint) dan Pelan Rancangan Pembangunan Keupayaan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) 2055 atau dikenali sebagai CAP55 (Capability Development 55). -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN