SEPANG: Seorang lelaki warga tempatan di tahan Rabu lalu selepas didapati terbabit dalam aktiviti ‘love scam’ sekitar tiga tahun lalu.
Timbalan Ketua Polis Daerah Sepang, Superintendan Shan Gopal Krishnan berkata, suspek berusia 27 tahun itu dikesan menipu mangsa menerusi aplikasi cari jodoh dalam talian, Tinder.
Beliau berkata, berdasarkan fakta kes, mangsa yang juga seorang lelaki tempatan mendakwa ditipu suspek sehingga mengalami kerugian kira-kira RM12,000.
“Pada awal Februari 2021, mangsa mendakwa berkenalan dengan seorang wanita di aplikasi itu dan selepas sebulan, suspek meminta bantuan wang daripada mangsa kerana ahli keluarga sakit.
“Mangsa telah memindahkan wang tunai ke dalam akaun mangsa berjumlah RM12,000 sebelum gagal dihubungi,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Katanya, selepas kejadian itu, mangsa mendakwa rakannya telah berkenalan dengan penama (suspek) sama di aplikasi sama dan turut menggunakan modus operandi sama.
Shan Gopal berkata, bertindak atas aduan dan laporan mangsa, pihaknya berjaya menjejaki suspek sebelum ditahan Rabu lalu.
Menurutnya, suspek ditahan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana kesalahan menipu.
“Suspek kini ditahan reman dan kes masih dalam siasatan,” katanya. – UTUSAN










