KUALA TERENGGANU: Lima lelaki termasuk dua pasangan adik-beradik dipenjara 36 tahun oleh Mahkamah Tinggi di sini atas kesalahan membunuh seorang lelaki, tujuh tahun lalu.
Aizz Amidie Aziz, 30, pasangan adik-beradik iaitu Mohd. Rizalman Awang, 34, dan Zahaman Fairol, 37, serta Mohd. Hafify Mat Nawi, 28, Mohd. Uwais, 29, turut dikenakan hukuman 12 sebatan.
Hakim Datuk Abdul Wahab Mohamed membuat keputusan itu hari ini selepas pihak pembelaan gagal menimbulkan sebarang keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.
Abdul Wahab dalam penghakimannya berkata, pembelaan yang dibuat tertuduh kelima tidak dapat diterima oleh mahkamah kerana tidak memasukkan notis alibi daripada permulaan kes.
Beliau menjelaskan, pembelaan tertuduh pertama, kedua, ketiga dan keempat pula bersifat penafian semata-mata.
Mengikut pertuduhan, lima sekawan itu didakwa membunuh Nik Mohamad Sharulanuar Nek Der yang ketika kejadian berusia 22 tahun.
Perbuatan itu dilakukan di kawasan paya di tanah lapang Kampung Pengkalan Nyireh, Kampung Raja, Besut antara 4.40 sehingga 5.15 petang pada 21 Jun 2017 dan didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman mati atau penjara 30 sehingga 40 tahun dan sebat tidak kurang 12 sebatan jika tidak dijatuhkan hukuman mati.
Bagaimanapun, kesemua tertuduh diberikan hukuman pemenjaraan berdasarkan kepada pindaan terkini mengikut Akta Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori 2023.
Mahkamah kemudian mengarahkan hukuman penjara terhadap setiap tertuduh bermula daripada tarikh tangkap.
Prosiding pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Amer Abu Bakar Abdullah manakala tertuduh diwakili peguam dari Tetuan Wan Haron Sukri & Nordin dan Tetuan Hanif & Co. – UTUSAN










