Lelaki mengaku bersalah cederakan bapa guna kerusi plastik - Utusan Malaysia

Lelaki mengaku bersalah cederakan bapa guna kerusi plastik

AHMAD Zikri Harun (kanan) dituduh mencederakan bapa kandungnya minggu lalu didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Kangsar hari ini. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA KANGSAR: Lelaki yang ditahan sebelum ini kerana mencederakan bapa kandungnya menggunakan kerusi plastik dalam kejadian di Gerik Khamis lalu, hari ini dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini.

Tertuduh, Ahmad Zikri Harun, 35, mengaku bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Rohaida Ishak.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja telah menyebabkan kecederaan ke atas bapa kandungnya berusia 74 tahun dengan menggunakan sebuah kerusi plastik iaitu alat yang jika digunakan sebagai senjata untuk menyerang mungkin menyebabkan kematian.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di hadapan sebuah rumah di Rancangan Perumahan Awam (RPA) Batu 3, Jalan Kuala Rui di Gerik pada pukul 8 malam, 23 Mei 2024.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 326A kanun yang sama.

Jika sabit kesalahan, dia boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun atau denda atau dengan sebat, atau dengan mana-mana dua hukuman berkenaan.

Tertuduh juga boleh dihukum mengikut Seksyen 326A Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara  dua kali ganda bagi tempoh maksimum yang mana boleh dikenakan jika sabit kesalahan itu.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Firdaus Nor Azlan mencadangkan jaminan sebanyak RM6,000 dikenakan terhadap tertuduh dan memohon tarikh sebutan baharu sementara mendapatkan laporan perubatan.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon jumlah jaminan minimum atas alasan tidak bekerja selain menghidap penyakit sawan.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 28 Jun ini untuk sebutan semula kes.

Media pada Jumaat lalu melaporkan, seorang lelaki warga emas terpaksa menerima empat jahitan di bahagian kening sebelah kanan selepas dibaling kerusi plastik oleh anak lelakinya.

Difahamkan, kejadian berlaku selepas suspek meminta wang daripada bapanya dan menuduh lelaki itu mengambil wang tersebut.

Tindakan suspek itu telah menimbulkan kemarahan warga emas terbabit hingga menyebabkan pertengkaran sebelum suspek bertindak menghayun kerusi ke arah bapanya. – UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×