KUALA LUMPUR: Kumpulan Wang Persaraan (KWAP) akan melabur sehingga RM3 bilion menerusi Dana Pemacu dalam pelaburan patuh syariah.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, usaha itu akan dilakukan dalam pelaburan patuh syariah untuk menyokong pertumbuhan tinggi syarikat tempatan di samping memangkin ekosistem pelaburan teroka.
Katanya, Suruhanjaya Sekuriti (SC) akan mewujudkan pertukaran sosial (social exchange) pertama di negara ini yang merupakan pendekatan berstruktur untuk penyertaan modal swasta dalam projek dengan hasil sosial positif.
Beliau berkata, usaha itu akan memberi manfaat kepada entiti seperti pertubuhan bukan kerajaan (NGO), perusahaan dan Majlis Agama Islam Negeri (MAIN).
“Ketiga, saya juga berbesar hati untuk memperkenalkan dimensi baharu kepada terbitan sukuk di bawah kerajaan Malaysia melalui struktur wakalah bil-khadamat.
“Kami merancang untuk memuktamadkan sukuk ini menjelang 2025 sambil berusaha melengkapkan semua susunan dan penyediaan yang diperlukan.
“Keempat, kami akan terus berinovasi pada sukuk struktur terutama untuk memenuhi keperluan terbaik peralihan iklim dan tenaga bersama-sama dengan kemapanan, membina inovasi masa lalu seperti SRI struktur sukuk ihsan dan kaitan dengan wakaf,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Forum Global Ekonomi dan Kewangan Islam di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini, hari ini. – UTUSAN








