LANGKAWI: Kontraktor Kompleks Dewan Bedah Pusat Jantung Hospital Sultan Idris Shah (HSIS), Serdang memberi jaminan akan membaiki semua kerosakan dan kecacatan di fasiliti itu menjelang Jun ini.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, keputusan itu dicapai susulan mesyuarat yang diadakan pihaknya bersama kontraktor dan Jabatan Kerja Raya (JKR), baru-baru ini.
“Apa yang dapat dirumuskan dalam perbincangan itu adalah kontraktor memberi jaminan mereka akan memperbetulkan kesemua kerosakan dan kecacatan menjelang Jun, kami pula mahu pastikan mereka menepati tarikh akhir itu.
“Bangunan baharu yang memiliki empat dewan bedah yang tidak berfungsi ini sangat menjejaskan penyampaian perkhidmatan di pusat jantung Serdang ini,” katanya pada sidang akhbar selepas menghadiri Lawatan Tapak Projek Pembinaan Bangunan Tambahan Hospital Sultanah Maliha, Langkawi, semalam.
Terdahulu, beliau bersama Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi mengiringi Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah dan Sultanah Kedah, Sultanah Maliha Tengku Ariff yang mengadakan lawatan itu.
Mengulas lanjut, Dzulkefly berkata, meskipun berdepan isu itu, pesakit yang memerlukan rawatan berkaitan akan dihantar ke Institut Jantung Negara (IJN) sekiranya terdapat kes-kes kecemasan, buat masa ini.
Beliau mengulas laporan Utusan Malaysia berhubung empat dewan bedah di bangunan baharu pusat jantung itu yang disahkan oleh Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Selangor berhadapan isu teknikal meliputi masalah bekalan elektrik dan kelembapan tinggi.
Pengarah JKN Selangor, Dr. Ummi Kalthom Shamsudin berkata, isu itu sedang ditangani dan diambil tindakan oleh kontraktor utama di bawah pemantauan JKR sebelum pengoperasian di Kompleks Dewan Bedah Pusat Jantung HSIS dimulakan.
Dalam pada itu, Dzulkefly memaklumkan, kemajuan projek pembinaan bangunan tambahan Hospital Sultanah Maliha mendahului jadual sebanyak 15 hari iaitu telah mencapai 22.5 peratus berbanding jadual sebanyak 21.35 peratus.
Katanya, projek itu telah dimulakan pada 20 Januari 2022 dan dijadualkan siap pada 26 Disember 2025 serta turut berpotensi untuk siap lebih awal berdasarkan prestasi yang ditunjukkan.
“Bangunan tambahan ini meningkatkan bilangan katil tambahan sebanyak dua kali ganda iaitu daripada 110 katil kepada 330 katil, bagi menampung populasi penduduk Pulau Langkawi yang berkembang serta kehadiran pelancong yang semakin meningkat.
“Projek ini turut melibatkan pembinaan tempat letak kereta bertingkat dan juga kuarters kediaman kakitangan dengan kos keseluruhan berjumlah RM425 juta,” ujarnya. – UTUSAN










