KUALA LUMPUR: Kes rogol membabitkan kanak-kanak sama ada mangsa atau suspek terdiri daripada mereka yang di bawah umur, dilaporkan semakin meningkat dan membimbangkan sejak beberapa tahun lalu.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Shuhaily Mohd. Zain berkata, kes tersebut dipercayai berpunca daripada semakin mudahnya akses kanak-kanak kepada pornografi di media sosial.
Menurutnya, lebih malang sesetengah kes tersebut tidak melibatkan jenayah tetapi lebih kepada suka sama suka antara mangsa dan suspek.
“Kes rogol beramai-ramai melibatkan kanak-kanak berusia sembilan tahun yang berlaku di Kelantan tahun lalu misalnya, mereka terlepas daripada tuduhan kerana masih di bawah umur.
“Suspek semua berusia sembilan dan 10 tahun, dan ia adalah ‘konsensual.’ Tetapi ia tetap rogol berkanun,” katanya kepada pemberita selepas Persidangan Kawal Selia Antarabangsa (IRC) 2024 di sini semalam.
Shuhaily berkata, dalam kes itu mangsa bersetuju melakukan hubungan seks kerana dia telah mematahkan pemadam milik suspek dan tidak dapat menggantikannya dengan yang baharu.
“Dia tidak mempunyai wang untuk membeli pemadam baharu. Dia menawarkan untuk membayarnya dengan seks.
“Tidak ada kes, sebenarnya kerana tiada liabiliti jenayah untuk mana-mana orang di bawah umur 10 tahun. Tetapi kami buka kertas siasatan,” katanya.
Tambah beliau, kes tersebut sering melibatkan isi rumah berpendapatan rendah dan kurang pengawasan daripada ibu bapa serta akses mudah kepada pornografi dalam talian.
Dalam pada itu katanya, jumlah kes membabitkan mangsa bawah umur meningkat setiap tahun terutama selepas pandemik Covid-19.
“Ini kerana ramai orang yang berurusan melalui media sosial dan selepas Covid-19 berakhir, semua kes meningkat.
“Polis juga bimbang dengan kemudahan akses kanak-kanak kepada media sosial dan pornografi,” tegasnya.
Pada 27 Februari lalu, Shuhaily berkata, jumlah kes rogol dalam kalangan remaja bawah umur 16 tahun yang meningkat sejak kebelakangan semakin membimbangkan.
Beliau berkata, walaupun atas dasar persetujuan bersama, perbuatan yang dalam istilah undang-undang dirujuk sebagai statutory rape itu, tetap diklasifikasi sebagai kes rogol kerana melibatkan pelaku bawah umur.
“Mengikut rekod Polis Diraja Malaysia, terdapat peningkatan 202 kes iaitu 11.8 peratus tahun lepas berbanding tahun 2022,” katanya.
Beliau berkata, paling menggusarkan, kebanyakan kes melibatkan golongan B40 dan antara faktor jenayah ini berlaku adalah kurang penyeliaan ibu bapa, selain akses mudah kepada bahan lucah di internet.
Katanya, ibu bapa perlu mainkan peranan mengawasi anak-anak dan perlu celik teknologi maklumat bagi mengawal penggunaan internet untuk mengelak anak-anak mereka melayari laman sesawang yang tidak sepatutnya.
Perubahan landskap komunikasi tanpa sempadan dan akses yang mudah memberi kesan ketara kepada golongan kanak-kanak sehinggakan boleh mengakses bahan-bahan terlarang tanpa kawalan dan akhirnya terjerumus dalam aktiviti yang tidak bermoral.
“Jika dahulu bahan lucah sukar didapati, kini semuanya di hujung jari sahaja, semua bahan ini mudah untuk akses di telefon pintar tanpa mengira usia,” katanya. – UTUSAN










