TAIPING: Kementerian Pendidikan menggalakkan penubuhan kelab Muay Thai atau tomoi di sekolah untuk memberi peluang kepada pelajar yang meminati sukan tersebut.
Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berkata, setakat ini sebanyak 16 buah sekolah di negara ini sudah menubuhkan kelab Muay Thai yang merupakan sukan baharu makin diminati golongan muda dan kementerian sedia memberikan sokongan dalam usaha mempromosikan sukan itu di peringkat sekolah.
“Kementerian juga menyokong persatuan Muay Thai yang berminat untuk mengadakan program dan sukan Muay Thai di sekolah.
“Pelajar yang menyertai sukan ini akan mendapat pengiktirafan dalam kejohanan yang mereka sertai dan ini dapat dijadikan sebahagian daripada markah kokurikulum untuk pengiraan prestasi pelajar,” katanya kepada pemberita pada perasmian Kejohanan Muay Antarabangsa Malaysia (MIMAC) 2024 di sini semalam.
Mengenai kejohanan tersebut, Kah Woh yang juga Ahli Parlimen Taiping berkata, MIMAC 2024 berlangsung selama tiga hari di Dataran Warisan Taiping bermula hari ini hingga Ahad ini.
Sementara itu, Pengerusi Persatuan Tomoi Perak, Mohd. Ezry Azamin berkata, seramai 260 peserta menyertai kejohanan tersebut.
“Kejohanan disertai peserta dari 12 buah negara dalam tiga kategori yang dipertandingkan bagi merebut 12 kejuaraan atau tali pinggang kejohanan,” katanya. – UTUSAN







