Kapal korek Sri Banting dibaik pulih, jadi muzium pada 2028 - Utusan Malaysia

Kapal korek Sri Banting dibaik pulih, jadi muzium pada 2028

Sri Banting
BORHAN Aman Shah meninjau keadaan kapal korek Sri Banting dekat Cybersouth, Dengkil di Sepang, Selangor hari ini. - UTUSAN / MOHAMAD NAUFAL MOHAMAD IDRIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Kapal korek bijih timah dipercayai terbesar di dunia, Sri Banting di sini disasar untuk dijadikan muzium perlombongan sebagai salah satu tempat tumpuan pelancong menjelang 2028 di negeri ini.

Projek baik pulih kapal tersebut yang terletak dekat sebuah tapak bekas tapak lombong di Dengkil itu dijangka dapat merancakkan lagi sektor pelancongan negara dan Selangor.

Exco Perumahan dan Kebudayaan Selangor, Borhan Aman Shah berkata, pemuliharaan kapal tersebut penting apabila ia menjadi salah satu khazanah negara yang perlu dijaga kerana ia diiktiraf oleh badan antarabangsa sebagai kapal korek terbesar dunia.

“Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) Selangor pada tahun 2022 membuat keputusan Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) untuk melakukan kerja pemulihan kapal tersebut.

“Cuma kos bagi membaiki dan menjadikan kapal korek itu sebagai muzium perlombongan memerlukan perbelanjaan yang besar, iaitu minimum RM30 juta,” katanya ketika melawat kapal korek Sri Banting di Cybersouth, hari ini.

Beliau menambah, MPSepang akan membelanjakan kira-kira RM10 juta bagi memulihara semula kapal korek Sri Banting dan berharap Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dapat menyalurkan peruntukan bagi projek baik pulih kapal tersebut.

Dalam pada itu, Borhan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Sepat memaklumkan, kerajaan negeri akan membuat permohonan kepada Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) supaya kapal tersebut tersebut mendapat pengiktirafan sebagai Tapak Warisan UNESCO.

“Jadi, kita perlu melakukan kerja pemulihan seperti yang ditetapkan oleh UNESCO. Cuma kalau tak dapat pengiktirafan pun, kita akan teruskan rancangan untuk jadikan kapal korek Sri Banting sebagai muzium perlombongan,” ujarnya.

Untuk makluman, kapal korek Sri Banting dibina pada tahun 1974 dan beroperasi selama 27 tahun, sebelum ia memberhentikan kerja mengorek bijih timah pada tahun 2001. Kapal itu berkeluasan 29.3 meter (m) lebar dan berketinggian 86m. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×