TUMPAT: Lebih 500 penduduk di tiga buah kampung di sini yang berulang-alik menggunakan bot berdepan bahaya apabila kabel elektrik yang merentangi Sungai Kelantan kini kendur dan hampir mencecah permukaan air.
Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, penduduk dari Pulau Pantai Haji Nik Mat, Pulau Suri dan Pantai Baru terpaksa berhati-hati dan memperlahan bot kerana bimbang tersangkut pada kabel tersebut.
Dakwa penduduk, masalah kabel kendur yang merentangi Sungai Kelantan dari tebing Pulau Seratus ke Pulau Teluk Rejuna sudah berlarutan sejak setahun lalu tanpa penyelesaian daripada pihak bertanggungjawab.
Seorang pengusaha bot tambang, Muhammad Hunaifah Che Awang @ Che Razali, 24, berkata, setiap kali air pasang, penduduk terpaksa mengubah laluan sekiranya mahu menghantar penumpang ke Pulau Suri.
“Kami bimbang bot tersangkut pada kabel tersebut sekali gus membahayakan penduduk,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.
Seorang lagi penduduk, Che Mas Ismail, 57, berkata, mereka bimbang kabel elektrik yang kendur itu boleh meragut nyawa terutama pada waktu malam.
“Waktu malam air pasang, kabel tersebut hanya seinci dari permukaan air. Jadi, kami harap masalah ini dapat diselesaikan secepat mungkin,” ujarnya.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kelaboran, Mohd. Adanan Hasan berkata, pihaknya sudah menerima laporan berkaitan masalah tersebut. – UTUSAN










