Jenayah seksual negara membimbangkan, Selangor tertinggi disumbang jumlah populasi - Utusan Malaysia

Jenayah seksual negara membimbangkan, Selangor tertinggi disumbang jumlah populasi

Jenayah Seksual
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Selangor berdepan dengan kadar jenayah seksual tertinggi dalam tempoh tiga tahun, namun yang paling membimbangkan 90 peratus kes melibatkan suspek dikenali mangsa sama ada ahli keluarga, rakan dan orang yang diberi amanah seperti guru.

Sementara itu, selebihnya adalah melibatkan warga asing yang bekerja di negeri ini seperti kes cabul melibatkan pekerja stesen minyak atau insiden dalam pengangkutan dan tempat awam serta pelancong.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Seksual (D11), Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Siti Kamsiah Hassan mendedahkan, kadar jenayah tersebut disumbang oleh faktor populasi tinggi yang turut dipengaruhi oleh jumlah penduduk di negeri sekitar seperti Negeri Sembilan, Perak dan Kuala Lumpur.

“Susulan kepadatan tinggi dan perkembangan ekonomi yang tinggi di negeri tersebut. Selangor adalah negeri maju dan capaian internetnya mudah dan banyak fasiliti lain termasuk ada kes berlaku di universiti. 

“Jadi, banyak akses menyumbang kepada perlakuan jenayah seksual tersebut. Selangor adalah negeri tertinggi diikuti Johor,” katanya ketika ditemui pemberita hari ini. 

Bagaimanapun, beliau tidak menyatakan jumlah kes tersebut. 

Sementara itu, Siti Kamsiah menjelaskan banyak kes jenayah seksual berlaku dalam kalangan golongan B40 susulan tekanan ekonomi dan persekitaran rumah yang tidak kondusif. 

“Apabila keciciran pendidikan akan beri impak kepada ekonomi seterusnya mewujudkan tekanan perasaan. Cara didikan ibu bapa juga dilihat lemah selain berlakunya perceraian,” ujarnya.

Terdahulu, dalam sesi Townhall Discussion Polis Kontinjen Selangor 2024, beliau turut mendedahkan kadar jenayah seksual dalam kalangan kanak-kanak di negara ini juga membimbangkan apabila sebahagian mereka didakwa mudah terperdaya dengan pujukan dalam media sosial.

SITI KAMSIAH HASSAN

Menurutnya antara modus operandi yang digunakan adalah ‘ayat-ayat power’ oleh pelaku untuk mempengaruhi dan membina kepercayaan mangsa sebelum mengatur langkah seterusnya berkenaan aktiviti seksual.

“Kemudian kanak-kanak akan berasa seronok sehingga membawa satu tarikan kepada kanak-kanak bagi melakukan kesalahan seksual.  Mereka akan minta gambar bogel sebelum berakhir kepada adegan seks. 

“Sebab itu, tidak sampai sejam ada berkongsi lokasi sama ada lelaki itu masuk rumah atau mangsa yang keluar. Sekali lagi, alat telekomunikasi dan internet memudahkan berlakunya jenayah seksual tersebut. You kenal, you chatting, you datang rumah,” dedahnya.

Katanya lagi, kebanyakan kes berlaku melibatkan mangsa yang hamil, namun membuat laporan polis dengan alasan terpaksa, sedangkan sudah bertemu pelaku sehingga tiga kali.

Malah, ada dalam kalangan kanak-kanak juga bertindak berani menjadi pemangsa menerusi kes di Kelantan apabila terdapat mangsa terjerat dengan hutang waima cuma mengantikan alat tulis, iaitu pemadam.

“Jadi, kita boleh lihat betapa ‘cerdiknya’ kanak-kanak ketika ini dengan menawarkan perkhidmatan seks bagi pembayaran hutang barangan. 

“Berdasarkan statistik juga mendapati ketika ini 70 peratus mangsa jenayah seksual adalah kanak-kanak yang berusia 13 hingga 18 tahun. Ini mungkin disebabkan mempunyai akses atau bebas keluar rumah selain matang dari segi biologi seksual,” jelasnya. 

Mengulas lanjut, Siti Kamsiah menegaskan perkara ini berlaku disebabkan ketidakpedulian ibu bapa termasuk dalam aspek pengantunan kanak-kanak seperti gambar bogel.

Sementara itu, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan memberitahu, dari sudut statistik, Selangor tinggi populasinya, namun jika dipecahkan bagi setiap 100,000 penduduk, kadarnya akan dilihat rendah.

“Jadi, kita tidak boleh katakan jumlah kesnya tinggi berbanding negeri lain, jenayah Selangor di tinggi, nombor dia tinggi sebab penduduk ramai, tetapi keadaan jenayah terkawal tetapi bukan tertinggi,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN