KUALA TERENGGANU: Jajaran Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) direka bentuk meminimumkan kacau ganggu kepada alam sekitar dengan mengelakkan semaksima kawasan hutan simpan, sumber air dan habitat hidupan liar.
Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Seri Darwis Abdul Razak berkata, reka bentuk jajaran sepanjang 665 kilometer itu merangkumi pembinaan sebanyak 41 buah terowong, kira-kira 145 kilometer laluan bertingkat serta 28 lintasan hidupan liar di lokasi-lokasi yang strategik.
Menururnya, pasukan Projek ECRL juga bekerjasama dengan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) bagi memastikan Pelan Pengurusan Hidupan Liar yang diluluskan untuk Projek ECRL dapat dilaksanakan secara efektif.
Katanya, inisiatif-inisiatif yang dijalankan termasuk tinjauan hidupan liar dan pemasangan perangkap kamera di sepanjang jajaran rel untuk mengenal pasti populasi hidupan liar.
“Pelaksanaan Pelan Pengurusan Hidupan Liar ini penting terutamanya sebagai perlindungan kepada hidupan liar semasa fasa pembinaan Projek ECRL serta dari segi aspek keselamatan laluan kereta api semasa peringkat operasi tren ECRL kelak,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Program Pemuliharaan Sungai Derhaka sempena Sambutan Hari Bumi 2024 di Kampung Sungai Derhaka. di sini hari ini.
Selain itu, Darwis memberitahu, projek ECRL itu juga mematuhi garis panduan dan syarat termasuk Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA), Pelan Pengurusan Alam Sekitar (EMP) dan Pelan Kawalan Hakisan dan Endapan (ESCP) yang masing-masing dikeluarkan oleh pihak-pihak berkuasa bagi memelihara alam sekitar dan menjaga kepentingan orang awam.
“Pelaksanaan Pelan Pengurusan Alam Sekitar yang telah diluluskan ini amat penting terutamanya dari segi aspek langkah-langkah kawalan pencemaran semasa fasa pembinaan jajaran ECRL.
“Oleh demikian, pihak kami telah melaksanakan pelbagai langkah kawalan yang perlu termasuk pematuhan syarat yang berterusan, pemeriksaan rutin bersama di tapak binaan, nasihat teknikal, program kesedaran dan pengawasan secara berkala,” ujarnya.
Selain itu, beliau berkata, pembinaan Projek ECRL yang melibatkan empat negeri iaitu Kelantan, Terengganu, Pahang dan Selangor telah mencatat kemajuan keseluruhan sebanyak 65.36 peratus setakat April lalu.
“Sukacita dimaklumkan juga bahawa pembinaan Projek ECRL di negeri Terengganu amat lancar sekali dan telah mencapai kemajuan sebanyak 82.3 peratus sehingga April 2024,” tambahnya. – UTUSAN











