KANGAR: Penganjuran Sambutan Hari Belia Negara (HBN) merupakan satu bentuk usaha dalam memupuk semangat patriotisme dan cintakan negara dalam kalangan golongan belia.
Pemangku Raja Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, ia juga memperkukuhkan perpaduan dan integrasi nasional menerusi penganjuran program dan aktiviti khusus buat belia dan anak muda.
“Saya menyambut baik dan menyokong setiap usaha yang dilaksanakan oleh Jabatan Belia dan Sukan negeri Perlis
dalam menyediakan platform strategik bagi golongan belia berkumpul dan berkongsi aspirasi demi pembangunan modal
insan seterusnya menyumbang bakti khusus buat negeri Perlis dan Malaysia amnya.
“Justeru, saya berharap seluruh masyarakat terutamanya belia untuk memanfaatkan segala peluang bagi melibatkan diri
dalam program-program yang dianjurkan. Ia terutamanya membabitkan 10 Gaya Hidup Rakan Muda yang telah diperkenalkan oleh KBS (Kementerian Belia dan Sukan) kerana ia akan membentuk jati diri, menjauhi najis dadah dan pembudayaan sifat kesukarelawanan.
“Tema ‘Yakin Boleh’ merupakan satu gambaran bahawa keyakinan dan semangat jitu melalui keterlibatan golongan belia dalam 140 pertubuhan belia di negeri Perlis ini bukan sahaja mampu menyemai nilai-nilai kepimpinan, malah berupaya merapatkan mereka dengan terjalinnya hubungan kerjasama erat antara kerajaan Persekutuan dan negeri,” titah baginda merasmikan sambutan tersebut di sini hari ini.
Berangkat sama, Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Lailatul Shahreen Akashah Khalil dan turut dihadiri
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh: Menteri Besar, Mohd. Shukri Ramli dan Pengerusi Belia dan Sukan negeri, Wan Zikri Afthar Ishak.
Baginda seterusnya bertitah, para belia di negeri ini tanpa mengira latar belakang perlu terus mengorak langkah melengkapkan diri masing-masing dengan ilmu, integriti, kepakaran dan sihat tubuh badan.
“Dan ‘Yakin Boleh’ untuk membuktikan ‘Perlis Hebat’ dan ‘Rakyat bermentaliti kelas pertama dalam segala tindakan’,” titah baginda.-UTUSAN










