Hanya dewan komuniti - Alif Satar tepis tuduhan membuat persembahan di gereja - Utusan Malaysia

Hanya dewan komuniti – Alif Satar tepis tuduhan membuat persembahan di gereja

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: “Itu bukan gereja.”

Demikian respons penyanyi dan pengacara, Alif Satar berkenaan dakwaan dia dan anggota kumpulan Alif Satar & The Locos membuat persembahan di sebuah gereja ketika mengunjungi United Kingdom, baru-baru ini.

Tegas Alif atau nama sebenarnya Muhammad Alif Mohd. Satar, tuduhan yang dilemparkan adalah tidak benar, sebaliknya kumpulan berkenaan menerima jemputan menghiburkan di sebuah dewan komuniti di Hyde Park, London dan bukan gereja seperti didakwa.

“Kami peka kepada sensitiviti dan disebabkan itu kami tanyakan kepada penganjur yang juga orang Malaysia tentang tempat tersebut dan bertegas mahu mengunjunginya sebelum  membuat persembahan di sana.

“Ternyata ia hanya dewan komuniti dan juga sebuah taska yang dibina untuk masyarakat sekitar,” katanya ketika pelancaran lagu Kumandang di W Hotel, di sini.

Alif Satar & The Locos baru-baru ini menjadi sorotan di media sosial apabila dituduh membuat persembahan di sebuah gereja ketika mengunjungi negara tersebut, baru-baru ini.

Alif dalam pada itu memaklumkan dia enggan mengeruhkan keadaan dengan menjawab tuduhan tersebut di media sosial.

Namun Katanya dia lega apabila tampil pengguna media sosial lain yang menjelaskan perkara sebenar, sekali gus meleraikan dakwaan yang ditimbulkan.

“Ada pihak yang tak tahu perkara sebenar, lebih mudah membuat telahan. Alhamdulillah muncul orang lain yang menerangkan perkara sebenar.

“Saya sebelum ini tak mahu jawab dan tidak merancang untuk mengeluarkan apa-apa kenyataan mengenainya sebab saya faham akan sensitiviti masyarakat, sama ada yang beragama Islam, atau bukan.

“Sebagai Muslim, kami tahu apa yang boleh dilakukan dan yang tidak. Orang boleh berkata apa sahaja, jadi biarkan ia reda dengan sendirinya.

“Perkongsian media sosial (dakwaan netizen) itu pun sudah dipadam selepas ada pihak yang menerangkan perkara tersebut. Saya tak perlu ‘bertekak’ di media sosial kerana ia hanya akan menghidupkan api kemarahan,” katanya lagi.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN