Golongan muda diperlukan dalam menangani ancaman keselamatan bukan tradisional 

Golongan muda diperlukan dalam menangani ancaman keselamatan bukan tradisional 

MOHAMED KHALED NORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Golongan muda diperlukan dalam menangani ancaman keselamatan bukan tradisional 

 

KUALA LUMPUR: Penglibatan generasi muda amat diperlukan dalam menangani risiko keselamatan bukan tradisional.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, dengan minat mendalam dan kebiasaan golongan ini dengan teknologi baharu muncul, generasi muda boleh menawarkan pandangan dan perspektif yang segar.

“Menangani risiko keselamatan bukan tradisional juga memerlukan pembabitan bersama generasi muda.  

“Melabur dalam generasi akan datang akan memastikan bahawa mereka dilengkapi pelbagai kemahiran bagi mengemudi cabaran masa hadapan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucaptama Forum Putrajaya 2024 sempena Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Pameran Keselamatan Kebangsaan Asia (NATSEC ASIA) 2024 di sini, hari ini.

Forum Putrajaya 2024 dengan tema Non-Traditional Threat and Emerging Technologies adalah platform persidangan berskala antarabangsa dilaksanakan bagi menghimpunkan komuniti penggubal dasar, badan pemikir dan agensi pertahanan serta keselamatan serantau dan antarabangsa.

Mohamed Khaled menjelaskan, pelaburan signifikan dalam idea, usaha dan sumber baharu sangat penting bagi memastikan ancaman keselamatan bukan tradisional dapat ditangani.

Menurutnya, semua pihak perlu meningkatkan diplomasi pertahanan dengan memantau permasalahan semasa dan memanfaatkan kelebihan teknologi baharu untuk menanganinya.

Beliau berkata, keselamatan bukan tradisional datang dengan cabaran dinamik yang berkembang pesat, sekali gus menuntut idea transformatif untuk mengubah permainan.

Katanya, ia juga memerlukan kerjasama antara agensi dan rangkaian antarabangsa bagi mempelajari semula dan memahami mengenai peperangan serta ancaman keselamatan.

“Hala tuju ketika ini adalah mempercepatkan penyelesaian pertahanan yang berkesan seiring penerimaan teknologi. Ia akhirnya dapat memajukan kepentingan keselamatan bersama dan mengukuhkan keupayaan pertahanan.

“Teknologi baharu yang menawarkan penyelesaian praktikal harus menjadi pusat kepada hubungan diplomatik dan rundingan perkongsian antarabangsa,” ujarnya.

Mohamed Khaled berkata, teknologi seperti satelit dan inovasi keselamatan siber membolehkan komunikasi masa nyata dan perkongsian maklumat dipertingkatkan dalam kalangan anggota tentera dan pertahanan.

Beliau berkata, selepas diperkemas dengan penyelarasan berkesan dan mempercepatkan dalam membuat keputusan, teknologi ini dapat menjamin penyelidikan dan pelaburan yang berdedikasi.

“Kita juga perlu membincangkan bagaimana negara membangun boleh bekerjasama dengan pihak lain bagi mengejar rakan sejawat mereka yang lebih maju,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN