Gaji penjawat awam Selangor selaras Persekutuan, naik lebih 13 peratus - Utusan Malaysia

Gaji penjawat awam Selangor selaras Persekutuan, naik lebih 13 peratus

Gaji Selangor
AMIRUDIN SHARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Gaji penjawat awam Selangor akan dinaikkan pada Disember ini selaras pengumuman Kerajaan Persekutuan melibatkan 21,736 orang yang berkhidmat di seluruh negeri.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, bagaimanapun pelarasan tersebut tertakluk atau berkuatkuasa selepas kerajaan negeri menerima surat pekeliling berkaitan pelaksanaannya daripada Kerajaan Persekutuan.

“Pentadbiran kerajaan negeri mengambil langkah yang perlu selaras dengan tatacara kewangan sedia ada. Ia akan dinaikkan selaras dengan kenaikan sebagaimana yang berlaku pada tahun 2007 cuma akan bermula lebih 13 peratus seperti mana Perdana Menteri umumkan. 

“Saya akan selaraskan balik setelah pekeliling dikeluarkan,” katanya pada sidang akhbar pasca mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN), hari ini.

Jelasnya, perincian mengenai kenaikan gaji dan implikasi kewangan berkaitannya akan diperjelaskan pada Belanjawan Selangor 2025 nanti.

“Sudah pasti, bajet itu akan menumpukan tahun depan. Kalau bermula Disember pun sudah pasti kita gunakan wang kita ada atau perlukan bajet tambahan,” ujarnya.

Dalam pada itu, Amirudin yang juga mengetuai portfolio kewangan negeri memaklumkan, peningkatan gaji di peringkat negeri harus menjadi pedoman serta dorongan kepada seluruh penjawat awam.

Menurutnya, produktiviti kerja wajar sentiasa diperkukuhkan selaras harapan rakyat yang tinggi bahawa sistem perkhidmatan kerajaan sentiasa ditingkatkan.

“Kerajaan negeri menyambut baik pengumuman kadar kenaikan gaji penjawat awam oleh Perdana Menteri yang berkuatkuasa bermula 1 Disember ini.

“Pengumuman itu juga wajar disambut oleh sektor swasta agar tangga gaji dan pendapatan rakyat di seluruh negara terus meningkat agar Malaysia menjadi antara negara berpendapatan tinggi di rantau ini,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN