SHAH ALAM: Kerajaan Selangor menafikan berlaku penutupan bekalan air selama tiga hari di seluruh negeri ini dan Kuala Lumpur pada 14 hingga 16 Mei depan.
Mesej tular itu mendakwa penutupan pada tarikh berkenaan kerana kerja-kerja penyelenggaraan oleh pihak berkaitan.
Exco Infrastruktur dan Pertanian Selangor, Izham Hashim berkata, pihaknya terkejut apabila menerima sebaran mengenai perkara itu di aplikasi WhatsApp dan menafikan sekeras-kerasnya berita palsu tersebut.
“Tiada penutupan bekalan air atas kerja-kerja penyelenggaraan oleh Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd. (Air Selangor) pada hari berkenaan.
“Selain itu, Syabas (Syarikat Bekalan Air Selangor) sudahpun dijenamakan semula sebagai Air Selangor sejak 2020 dan tidak lagi menggunakan nama itu,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Tambahnya, orang ramai dinasihatkan mendapatkan maklumat sahih daripada laman rasmi kerajaan negeri dan agensi berkaitan.
“Saya juga menyeru semua pihak menghentikan sebaran palsu yang boleh menjejaskan kegusaran awam,” ujarnya. – UTUSAN










